DAP menggesa media rasmi PAS Harakahdaily memohon maaf kerana mendakwa gambar ikonik Perdana Menteri Anwar Ibrahim bermata lebam dan mengangkat tangan sebagai disunting.
Gesaan itu dibuat selepas semakan fakta yang disiarkan Malaysiakini semalam mendapati gambar itu asli.
Malah Agensi berita antarabangsa, Associated Press (AP) juga mempertahankan keaslian gambar yang diambil oleh jurugambarnya itu, 25 tahun lalu.
“Harakah sewajarnya memohon maaf kepada para pengamal media veteran yang menjadi saksi kejadian, selain memohon maaf kepada jurugambar terbabit kerana telah memfitnah hasil kerja beliau.
“Bukan itu sahaja, Harakah wajar membuat permohonan maaf terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia atas usaha dangkal untuk cuba memperbodohkan khalayak umum,” kata Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching.
Harakahdaily sebelum ini menyiarkan laporan yang mendakwa gambar tersebut adalah hasil "edit", dengan memetik juruvideo media yang telah bersara yang hanya ingin dikenali sebagai Hanafiah.
Hanafiah berkhidmat dengan Channel News Asia sebelum bersara dan kini merupakan ketua penerangan Bersatu Tangga Batu.
Dalam video yang dimuat naik Harakahdaily di Twitter, Hanafiah mendakwa gambar itu diambil olehnya dan ketika itu Anwar tidak mengangkat tangannya. Maka, gambar itu adalah "buatan".
Namun, ketika dihubungi Malaysiakini, Hanafiah memberitahu gambar itu diambil oleh AP dan dia tidak pasti sama ada gambar yang terkenal itu disunting atau tidak.
Pengurus AP Global News Fisnik Abrashi menerusi emel kepada Malaysiakini pula berkata "kami yakin gambar tersebut adalah betul dan tidak dimanipulasi".
Mengulas lanjut, Teo berpandangan PAS terdesak untuk menyerang ketokohan Anwar.
“Walaupun PAS begitu bangga mendabik dada dengan ‘gelombang hijau’, parti ini masih begitu laparkan publisiti murahan berasaskan fitnah dan kepalsuan, seolah-olah ia tidak akan kenyang dengan politik fitnah dan adu-domba yang diamalkan.
“Pada akhirnya nanti, PAS dan juak-juaknya juga akan dilondehkan sebagai pemfitnah terbesar akhir zaman,” kata Teo.
Katanya, tindakan itu "sangat kebudak-budakan dan memalukan profesyen kewartawanan" apatah lagi dakwaan itu boleh disemak dengan pantas.
“Langkah Harakah dan PAS untuk menjadikan hal ini sebagai modal politik bagi menyerang legasi gerakan reformasi yang mereka sendiri sertai ketika itu adalah sangat memalukan, dan menghina memori Almarhum Ustaz Fadzil Noor, presiden PAS ketika itu yang berada di baris hadapan pergerakan terbabit (Reformasi).
“Tiadakah akal budi yang waras untuk menyedari bahawa pengamal media boleh melakukan semakan fakta secepat kilat, dan mengesahkan bahawa gambar ikonik tersebut diambil oleh jurugambar Ed Wray dari agensi berita Associated Press, dan disahkan lagi oleh demikian ramai wartawan dan jurugambar yang turut membuat liputan ketika itu,” tambahnya.