Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fosil 52 juta tahun lalu beri pencerahan proses evolusi kelawar
Diterbitkan:  Apr 19, 2023 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Dua fosil rangka kelawar tertua berumur 52 juta tahun yang ditemui di sekitar barat daya Wyoming kini memberikan gambaran tentang perubahan awal mamalia terbang itu yang kini mempunyai lebih 1,400 spesies.

Fosil itu adalah dari spesies yang Icaronycteris gunnelli yang sebelum ini tidak diketahui dan mempunyai kaitan rapat dengan dua spesies lain yang dikesan melalui fosil lebih muda dari zaman Eosen yang ditemui dari kawasan sama.

Menurut ahli paleontologi di Pusat Biodiversiti Naturalis Belanda, Tim Rietbergen, kelawar Icaronycteris itu tidak jauh berbeza daripada kelawar insektivor yang wujud pada hari ini.

"Jika ia melipat sayap di sebelah badannya, saiznya hanya sebesar tangan kerana sayapnya agak pendek dan lebar, menggambarkan gaya penerbangan yang lebih bebas.

“Giginya jelas menunjukkan bahawa ini adalah kelawar pemakan serangga dan kemungkinan besar ia kelawar echolocatin,” katanya.

Echolocation adalah proses fisiologi untuk mengesan objek jauh yang tidak kelihatan melalui gelombang bunyi yang membantu kelawar untuk mengelak halangan dan mendapatkan makanan.

Kedua-dua fosil - yang ditemui pada 2017 dan 1994 itu - dianggap menakjubkan kerana ia menunjukkan bahawa sejak awal sejarahnya lagi haiwan itu sudah memiliki sifat yang dapat ditemui dalam spesies sekarang.

Menurut ahli paleontologi di Arizona State University Matt Jones rangka lengkap kelawar yang dijumpai buat itu memang mirip seperti kelawar yang masih ada dan ia tidak menunjukkan banyak perubahan.

“Icaronycteris gunnelli sedikit berbeza daripada kelawar sekarang kerana ia mempunyai kaki dan tulang lengan yang sedikit panjang, dan perkara yang paling ketara adalah ia masih ada kuku pada jari telunjuk,” katanya.

Spesies itu berkait rapat dengan dua spesies kelawar lain yang fosilnya ditemui lebih awal di tempat yang sama iaitu Icaronycteris dan Onychonycteris finneyi.

Kedua-dua fosil terbaru itu merupakan rangka yang paling lengkap dan terpelihara ditemui setakat ini. Fosil lain yang lebih tua merupakan penemuan di Portugal dan China, namun ia hanya sebahagian daripada gigi dan rahang haiwan itu dan berusia antara 55 hingga 56 juta tahun silam.

Spesimen rangka tertua yang dijumpai itu menunjukkan bahawa kelawar pertama sebenarnya muncul berjuta-juta tahun lebih awal dari yang dijangka.

Jones menjangkakan evolusi mamalia tersebut berkembang semasa zaman Paleocene, selang 10 juta tahun antara akhir era Mesozoik dan zaman Eosen.

Katanya para saintis masih cuba menentukan mamalia mana yang merupakan nenek moyang kelawar.

“Kami fikir kelawar mungkin berkembang daripada mamalia insektivor kecil yang tinggal di pokok tetapi terdapat beberapa insektivor fosil yang mengelirukan dari sekitar masa kelawar berkembang dan tidak pasti jika ia ada kaitan dengan kelawar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS