Seorang wakil rakyat Pulau Pinang mengkritik beberapa tindakan Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat hanya mencari jalan mudah untuk menambah pendapatan Kedah ketika negeri itu dihambat belanjawan defesit.
Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, berkata salah satu jalan mudah diambil menteri besar terbabit ialah dengan "merobek hutan simpan negeri" dan mengganggu ekosistem atas nama penerokaan bahan nadir bumi.
Malah kata Faiz, tidak cukup dengan itu, penglibatan beberapa syarikat dalam penerokaan tersebut turut menimbulkan pelbagai persoalan.
"Kepincangan yang berlaku ini mewajarkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan agenda sebenar kerajaan PAS dan PN Kedah itu.
"Tindakan Sanusi yang membuka jalan kepada penerokaan unsur nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, berisiko besar merencatkan usaha negara ke arah kelestarian alam.
"Laporan berita mengenai kegiatan melombong nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang secara haram adalah kesan awal 'jalan' yang dibuka oleh Sanusi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Faiz yang juga anggoat Jawatankuasa Amanah Nasional menambah disebabkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) belum dihantar untuk projek penerokaan unsur nadir bumi di Kedah, tindakan Sanusi menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan syarikat China dan sebuah lagi syarikat tempatan dilihat sebagai langkah terburu-buru.
Mengulas lanjut Faiz berkata, dia juga mencabar Sanusi menjelaskan secara terbuka mengapa syarikat yang baru berusia tujuh bulan terpilih untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.
Pemilik syarikat terbabit juga, dakwa Faiz, merupakan orang yang sama memiliki sebuah syarikat lain yang menjadi pilihan kerajaan Kelantan menjalankan perlombongan manganese.
Syarikat itu pula, katanya, akan bekerjasama dengan syarikat China.
"Persoalan yang timbul adalah apakah peranan utama yang akan dimainkan syarikat China tersebut dan mungkinkah ia akan menjadi 'abang besar' yang berpotensi mengawal sektor nadir bumi Kedah yang dianggarkan bernilai RM62 bilion?
"Bukankah hasil bumi negeri sepatutnya lebih memanfaatkan rakyat Kedah berbanding syarikat asing?" katanya.
Bukan idea bernas
Tambah Faiz lain proses pemilihan syarikat tempatan itu amat meragukan kerana pemiliknya pernah dinamakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013.
Dalam laporan itu, kata Faiz, ada dikesan beberapa masalah pada syarikat terbabit termasuk tindakan mereka menjalankan operasi perlombongan walaupun belum menandatangani perjanjian yang telah disiapkan pihak kerajaan Kelantan.
Laporan itu juga katanya menyatakan syarikat terbabit tidak mematuhi syarat pajakan melombong, dan gagal memulakan operasi perlombongan di salah satu lot yang diluluskan.
"Bukan itu sahaja, Sanusi harus menjelaskan mengapa lesen untuk projek eksplorasi nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang diberikan kepada sebuah syarikat yang 80 peratus dikawal oleh seorang warga asing.
"Kerajaan Kedah pimpinan Sanusi seharusnya menghormati ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 pada 18 Nov 2014 untuk sebaik boleh menghindari aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan.
"Penerokaan hasil bumi hutan simpan bukanlah idea bernas memajukan Kedah, apatah lagi mencapai status The Greater Kedah.
"Apa gunanya pembangunan jika manfaatnya dinikmati orang luar. Adakah tiada anak jati Kedah yang berkelayakan dan berkemampuan?" soal Faiz.