Pemenjaraan bagi suatu tempoh dengan sebatan dilihat sebagai hukuman gantian paling sesuai bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata hukuman gantian perlu setimpal dengan keseriusan jenayah yang dilakukan dan tidak mengakibatkan kejanggalan dengan hukuman lain yang kurang serius.
“Kombinasi hukuman pemenjaraan dan sebatan adalah wajar supaya dilihat sebagai hukuman yang lebih berat berbanding hukuman untuk jenayah-jenayah lain,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang itu, yang bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan serta mengadakan peruntukan bagi perkara berkaitan, diluluskan selepas bacaan kali ketiga setelah dibahas oleh 10 Ahli Parlimen.
Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.
Ia melibatkan Seksyen 121A iaitu kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri, Seksyen 130C (melakukan perbuatan pengganas), Seksyen 130I (mengarahkan aktiviti kumpulan pengganas) dan Seksyen 302 (kesalahan membunuh) di bawah Kanun Keseksaan.
Ramkarpal berkata pemenjaraan yang bertempoh juga bertujuan memberikan peluang kepada banduan untuk mengemukakan permohonan parol selepas menjalani suatu tempoh pemenjaraan.
Katanya bagaimanapun, kelayakan parol masih tertakluk kepada sebarang pindaan Seksyen 46E Akta Penjara 1995 (Akta 537).
Selain itu, beliau berkata penggubalan rang undang-undang tersebut merupakan suatu akta ‘omnibus’ kerana ia merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.
Ramkarpal berkata perundangan sistem keadilan jenayah di Malaysia diwujudkan sejak sekian lama dan terdapat banyak peruntukan sedia ada yang dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan jenayah semasa.
“Dalam hal ini, keputusan kerajaan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha kerajaan mewujudkan sistem perundangan yang dinamik, progresif dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Rang undang-undang itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi bidang kuasa penyemakan sementara Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap orang yang disabitkan berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori.
Turut diluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
- Bernama