Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: Bersatu jadi MB jika PN menang di Selangor, N Sembilan - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata Bersatu akan mengetuai pentadbiran di Selangor dan Negeri Sembilan manakala PAS kekal mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu jika PN menang di negeri-negeri tersebut dalam PRN akan datang.

Presiden Bersatu merangkap pengerusi PN itu berkata tumpuan mereka kini adalah untuk merampas Selangor dan Negeri Sembilan daripada PH, selain yakin mengekalkan kemenangan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Kita sudah rundingkan dengan PAS dan parti lain (dalam PN), Kelantan, Terengganu, Kedah biarlah PAS... Kita jangka akan sapu bersih di negeri ini.

"Selangor dan Negeri Sembilan bila menang, Bersatu pimpin dan jadi menteri besar. Jangan tanya siapa jadi menteri besar, sudah dipersetujui," katanya dalam sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Pulau Pinang pula, dia berkata parti komponen PN yang paling banyak menang kerusi akan memegang jawatan ketua menteri.

Muhyiddin turut menyuarakan keyakinan PN mampu mengambil alih tampuk pemerintahan di Selangor, yang dilihat sebagai kubu PH.

Sehubungan itu, dia berkata Naib Presiden Bersatu Mohd Radzi Md Jidin dilantik menjadi penyelaras pilihan raya untuk Selangor dan akan dibantu Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari.

Antara persediaan awal PN adalah sudah menentukan barisan kepimpinan di negeri-negeri terlibat jika gabungan itu berjaya menubuhkan kerajaan, katanya lagi.

"Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, PAS, dan Gerakan duduk bersama dan bila terbentuk kerajaan, sudah tahu di mana kedudukan, berapa peratusan exco (untuk parti komponen) PN. Itu persiapan kita mulakan sekarang.

"Bukan sombong, tapi ini menunjukkan iltizam kita," katanya lagi.

Berkenaan agihan kerusi, bekas perdana menteri itu berkata penyandang kemungkinan besar akan dicalonkan semula di kerusinya, dengan rundingan hanya melibatkan kerusi yang dipegang pihak lawan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS