ADS
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | Tunggu laporan sebelum putus tubuh jawatankuasa siasatan -PM
Diterbitkan:  Dec 16, 2022 11:57 AM
Dikemaskini: 4:01 PM

Insiden tanah runtuh berlaku di tapak perkhemahan di Batang Kali hari ini.

Misi mencari dan menyelamat mangsa sekitar di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm masih berjalan.

Terdapat korban nyawa dan kecederaan dilaporkan.

Berikut laporan langsung insiden itu:


ADS

Tunggu laporan, kata PM

11 malam: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata dia akan menunggu dan meneliti laporan daripada agensi berkaitan sebelum memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu.

"Ini kita tunggu laporan awal dari Ketua Polis Negara dan pihak bomba dan semua pasukan akan berikan laporan.

"Saya tidak mahu mendahului laporan mereka, biar kita tunggu sekejap.. perhatikan laporan dan ambil tindakan sebaik kita meneliti semua laporan itu,” katanya kepada pemberita.

Dia berkata demikian ketika ditanya apakah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyiasat jika ada berlaku kesilapan manusia yang telah menyumbang kepada tragedi itu.

Terdahulu, Anwar menerima taklimat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak polis serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada anggota penyelamat yang telah mengambil risiko keselamatan dalam usaha mencari mangsa di tengah-tengah cuaca yang tidak menentu.

Anwar umum bantuan RM10,000 kepada waris mangsa korban

10.45 malam: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 untuk waris mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.

Manakala mangsa yang terselamat pula akan menerima bantuan sebanyak RM1,000.

Bantuan akan disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), melalui setiausaha kerajaan negeri Selangor atas kapasitinya selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga esok, katanya.


ADS

Tempat perkelahan, perkhemahan diarah tutup seminggu

10.30 malam: Semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor diarah tutup selama tujuh hari mulai esok, lapor Bernama.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor malam ini, arahan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri.


KPM sahkan guru, murid SJKC terlibat dalam tragedi

10.25 malam: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan terdapat guru dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

Bagaimanapun,dia berkata lawatan kumpulan itu ke lokasi terbabit bukan anjuran pihak sekolah sebaliknya merupakan kunjungan persendirian, lapor Bernama.


PM tiba di lokasi kejadian

9.51 malam: Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di tempat kejadian dan menerima taklimat daripada agensi penyelamat berkenaan situasi terkini.

Sebanyak 21 kematian disahkan setakat ini dan 12 lagi mangsa belum ditemui, menjadikan insiden tanah runtuh ini mungkin antara yang paling buruk pernah berlaku di negara ini dalam tempoh beberapa dekad lalu.


PM akan umum bantuan - Zahid

8 malam: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan mengumumkan bantuan kepada semua mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali, kata timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana menteri dijangka tiba di lokasi itu pada 9.30 malam.

Zahid, yang mengetuai jawatankuasa pengurusan bencana pusat turut mengingatkan orang ramai agar tidak bercuti di tapak perkhemahan di kawasan itu ketika musim tengkujuh.

Sementara itu, pihak Unifi memasang kabel untuk petugas media mengakses internet.

Capaian internet yang lemah di kawasan itu menjadi cabaran kepada petugas media yang membuat liputan kejadian tanah runtuh berkenaan.


21 korban ditemui setakat 7 malam

7.45 malam: Dua lagi mayat ditemui setakat 7 malam, menjadikan jumlah keseluruhan korban tanah runtuh di Batang Kali meningkat kepada 21 orang.

Mereka terdiri daripada 4 kanak-kanak (lelaki), 1 kanak-kanak (perempuan), 12 Wanita dan 4 lelaki dewas.

Usaha mencari dan menyelamat bagi mengeluarkan 12 lagi mangsa di bawah runtuhan masih diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bantuan agensi-agensi lain.

Antara mangsa yang diselamatkan di lokasi itu ialah tiga warga Singapura, menurut Kementerian Luar Negeri Singapura (MFA).


Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

6.10 petang: Mayat mangsa ke-17 dan ke-18 ditemui di bawah runtuhan dekat tepi sungai, jam 4.40 petang tadi, lapor Berita Harian.

Mangsa ditemui berpelukan ialah pasangan ibu dan anak perempuan berusia kira-kira tiga tahun.

Kedua-dua mangsa dipercayai berkhemah di kawasan berhampiran tetapi pergerakan tanah menolak mangsa berhampiran sungai.


Satu lagi mayat ditemui, jumlah korban 19

6.05 petang: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis memaklumkan 19 mangsa meninggal dunia apabila satu lagi mayat ditemui.

Norazam dalam sidang media berkata, empat mangsa yang maut tersebut adalah kanak-kanak. Pada masa ini katanya seramai 14 mangsa belum ditemui manakala dua lagi mangsa cedera.

Pihak bomba bercadang meneruskan operasi sehingga baki kesemua 14 individu itu ditemui. Bagaimanapun operasi akan dihentikan serta-merta sekiranya hujan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah memaklumkan kesemua mayat telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh. Mayat berkenaan sebelum itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.


Angka korban meningkat kepada 18 orang

5.40 petang: Dua lagi mayat dibawa keluar dari runtuhan tanah runtuh di Batang Kali, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 18 orang setakat ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, 15 lagi mangsa mmasih belum dijumpai, setakat jam 5 petang.

Mangsa yang terkorban termasuk empat kanak-kanak (tiga lelaki, dan seorang perempuan), 11 wanita dan tiga lelaki dewasa.

"Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak Bomba serta dibantu bersama oleh agensi lain iaitu Persatuan Bomba Sukarela, Bomba Swasta, PDRM,APM, KKM dan Pasukan SMART.

"Maklumat dari semasa ke semasa akan dikemaskini sehingga operasi selesai, “ kata jabatan itu dalam hantaran di media sosial.


Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah

5.30 petang: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku serta berharap agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan berkenaan.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan Facebook rasmi istana negara.


13 dewasa, tiga kanak-kanak maut - Nadma

5.15 petang: Nadma memaklumkan 16 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali setakat jam 1 tengah hari.

Memetik sumber Jabatan Kesihatan Selangor, Nadma berkata mangsa termasuk tiga lelaki dewasa, 10 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.


PAS ucap takziah, 10 anggota Jabatan Amal bantu cari mangsa

4.40 petang: PAS merakamkan ucapan tazkiah kepada keluarga mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali.

Setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata parti itu mengarahkan sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia dan NGO Penyelamat Khidmat Malaysia agar segera turun padang memberikan bantuan.

Sementara laman rasmi parti Islam itu memaklumkan seramai 10 anggota Jabatan Amal diterima masuk ke lokasi kejadian bagi membantu misi mencari mangsa.


KPWKM pastikan kelengkapan untuk mangsa cukup

4.30 petang: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memastikan segala kelengkapan yang diperlukan oleh mangsa insiden tanah runtuh terbabit mencukupi, kata menterinya Nancy Shukri.

Nancy dalam kenyataan hari ini memaklumkan Timbalannya, Aiman Athirah Sabu, telah diarah untuk mengendalikan perkara itu.

"Kementerian bersedia untuk menyediakan apa-apa bantuan dan keperluan kepada mangsa. Semoga dugaan ini dihadapi dengan tabah oleh keluarga mangsa," katanya dilapor Bernama.


Runtuhan sedalam 8 meter, panjang 500 meter

4.25 petang: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata berdasarkan kepada cerapan data awal di tapak kejadian, terdapat kegagalan pada cerun tambakan dengan dimensi runtuhan sepanjang kira-kira 500 meter dan berkelebaran 200 meter.

Katanya, runtuhan tersebut juga membabitkan kedalaman 8 meter dengan anggaran isipadu runtuhan sebanyak 450,000 meter padu.


Percutian keluarga jadi mimpi negeri

3.23 petang: Mangsa tanah runtuh Celine, 27, pada mula menyangka ia merupakan percutian biasa bersama keluarganya seramai 12 orang sebaik tiba di tapak perkhemahan itu petang semalam.

Bagaimanapun Celine berkata mereka dikejutkan sekitar 2.20 pagi apabila gelombang pertama tanah runtuh berlaku.

“Pada mulanya apabila ia (tanah) mula runtuh kami tidak mendengar bunyi.

“Dalam gelombang pertama (tanah runtuh) kami berjaya keluar dari khemah apabila ia tertimbus dengan tanah. Tetapi separuh daripada kaki ayah saya juga telah tertanam.

“Pada masa itu kami menyelamatkannya dan melepaskan kakinya,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di balai polis daerah Hulu Yam Bharu di mana bapanya yang berusia 53 tahun membuat laporan.

Dia menambah keluarganya sangat bertuah kerana mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum gelombang kedua tanah runtuh berlaku.

"Kalau ingat kembali, jika kami tunggu beberapa minit lagi kami akan ditanam hidup-hidup," katanya.


14.30: Menurut laporan Oriental Daily, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tiga tapak perkhemahan di kawasan tragedi itu beroperasi tanpa lesen.

Dia berkata pengendali itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda RM50,000 jika sabit kesalahan.

Mengesahkan pengusaha dibenarkan membuka ladang organik, Nga mendakwa mereka tidak mengemukakan permohonan untuk mewujudkan tapak perkhemahan.

Dia dilaporkan berkata bahawa 155 pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia telah diarahkan menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai selama tujuh hari - berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Nga, kerajaan akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk mengkaji semula risiko yang dihadapi tapak perkhemahan tersebut, menasihati pengendali untuk melibatkan diri dengan jabatan mineral dan geosains untuk menilai struktur tanah mereka.


14.00: MB Selangor ucap takziah

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu.

Menurutnya, seramai 446 anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor terlibat dalam usaha SAR di lokasi itu dengan dibantu agensi lain.

Amirudin juga memaklumkan akan melawat lokasi insiden bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, serta menyeru rakyat Malaysia mendoakan operasi SAR berjalan lancar.


16 meninggal dunia, 17 belum djumpai

13.21: Maklumat terkini dari Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan setakat ini:

Jumlah mangsa: 94 orang
Jumlah selamat: 61 orang
Jumlah meninggal: 16 orang
Jumlah belum dijumpai: 17 orang

Operasi menyelamat masih dijalankan.


Tapak khemah, kawasan rekreasi sekitar Batang Kali diarah tutup serta-merta

12.39: Semua tapak perkhemahan, kawasan rekreasi air di sekitar Batang Kali diarah tutup serta-merta sehingga diberitahu kelak, kata menteri dalam negeri seperti dilaporkan Bernama.


KPDN tawar sukarelawan, makanan untuk penyelamat

12.27: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan bantuan sukarelawan dan makanan kepada pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh.

Salahuddin Ayub

"Bantuan diberikan serta-merta bagi membantu kelancaran operasi pasukan penyelamat mencari dan menyelamat mangsa yang masih belum ditemui," Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub dilaporkan berkata kepada pemberita.

Cikgu dari SJKC Mun Choong antara mangsa

12.20: Lebih 20 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan anggota keluarga mereka antara ratusan mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu U Chin Ong berkata setakat ini beberapa guru yang diselamatkan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan, lapor Berita Harian.

Kedua-dua belah jalan masuk ke Resorts World Genting ditutup

12.08: Resorts World Genting menasihatkan pengunjung yang pergi dan balik dari resort itu menggunakan Lebuh Raya Karak melalui laluan Genting Sempah susulan insiden tanah runtuh di Batang Kali.

Dalam nasihat perjalanan di laman webnya, pengendali resort itu berkata kedua-dua belah jalan masuk ke Resorts World Genting telah ditutup polis susulan kejadian berkenaan, lapor Bernama.


Panggilan bertali arus dari keluarga mangsa

11.40 – Father’s Organic Farm enggan mengulas berkaitan insiden itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, jurucakap tapak perkhemahan berkata mereka sedang sibuk menerima panggilan telefon bertali arus daripada keluarga mangsa terlibat.


13 kematian setakat 11 pagi

11.35 - Setakat 11 pagi ini, seramai 13 orang disahkan terkorban oleh Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa, lapor Bernama.

Tujuh mangsa yang cedera dibawa ke Hospital di Selayang, Kuala Lumpur dan Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan, menurut menteri.

[Laporan lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS