Sebanyak 16 stesen LRT aliran Kelana Jaya perlu digantung perkhidmatan ekoran kerosakan berulang dalam sistem isyarat yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut Prasarana.
Ia menyebabkan pusat kawalan gagal mengesan lokasi kereta api, kata Prasarana dalam sidang media susulan pengumuman penggantungan yang mengejutkan dan mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pengguna, hari ini.
Gerabak aliran Kelana Jaya bergerak secara autonomi tanpa pemandu.
Menyuarakan permohonan maaf atas keadaan itu, CEO Prasarana Mohd Azharuddin Mat Siah berkata aliran tersebut perlu digantung kerana ia membawa risiko keselamatan.
"Ini sesuatu yang tidak dijangka tetapi kami perlu melakukannya untuk keselamatan pengguna... kami sebut (digantung) tujuh hari tetapi kami akan cuba untuk siapkan (kerja membaiki) lebih awal agar perkhidmatan boleh dimulakan secepat mungkin," katanya.
Masalah itu mula dikesan Sabtu lalu dan berterusan walaupun kerja untuk membaikinya telah dibuat, katanya lagi.
"Masalah ini, dikesan daripada ketidakstabilan dalam sistem kawalan kereta api automatik (ATC), bermula 5 Nov lalu.
"Pemeriksaan awal dapati ATC tak dapat kesan isyarat antara pusat kawalan dengan kereta api, jadi kereta api tak dapat beroperasi secara autonomi dari stesen Kelana Jaya ke Ampang Park," katanya lagi.
Dia berkata perkakasan dan perisian sebenarnya menghampiri tarikh luput dan Rapid Rail telah menerima peruntukan kira-kira RM150 juta untuk penambahbaikan fasa pertama bulan lalu.
Bagaimanapun, kerosakan berlaku sebelum ia dapat ditukar.
"Ini adalah sistem yang sudah lama yang memerlukan semua peralatannya diganti - sistem dan kereta api - sudah tiba masa untuk tukar dan kita ada perancangan untuk melakukannya.
"Insiden ini berlaku begitu teruk dan ia mengejutkan kami," kata Azharuddin lagi.
Jurutera Kanada dalam perjalanan
Azharuddin berkata Rapid Rali telah bekerjasama dengan Thales Group di Canada selaku pengilang peralatan asal (OEM) untuk mengendalikan masalah ini namun tiada penyelesaian yang ditemui.
Justeru, kumpulan jurutera Thales dari Toronto sedang dalam perjalanan untuk memberikan bantuan.
Katanya lagi, pakar dari syarikat itu sendiri mengatakan masalah ini sesuatu yang "amat jarang" berlaku.
"Kami menyiasat dari setiap sudut tapi apa yang kami tahu sistem ini sudah lama. Kami sedang buat persediaan untuk menggantikannya dan akan melakukannya," katanya lagi.
Prasarana juga sedang menimbang untuk memberi pampasan kepada pengguna yang membeli pas bulanan dan akan mengumumkan perkara itu kemudian.
Untuk jangka masa panjang, Azharuddin berkata syarikat akan menggantikan seluruh sistem ATC bagi aliran Kelana Jaya.
Katanya, penggantungan hari ini tiada kaitan dengan kerosakan sebelumnya.
Dia menjelaskan pada tahun lalu, aliran tersebut mengalami penangguhan kekerapan yang kerap ekoran isu berkaitan takometer dan kaliber brek kereta api.
"Ia berkaitan, tetapi sebenarnya isu yang berbeza," katanya lagi.
Bas percuma
Pada masa ini, Prasarana menyediakan 85 bas untuk lima laluan antara stesen LRT secara percuma sebagai alternatif kepada pengguna yang terjejas, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bagi setiap perjalanan.
Laluan tersebut adalah:
Ara Damansara ke Pasar Seni menerusi Lebuhraya Persekutuan
Ara Damansara ke Kelana Jaya (tanpa melalui Lembah Subang)
Kelana Jaya ke Pasar Seni (berhenti di setiap stesen LRT antara dua stesen tersebut)
Pasar Seni ke Masjid Jamek
Masjid Jamek ke Damai (berhenti di setiap stesen LRT antara dua stesen tersebut)
Namun, bas tidak dapat disediakan antara stesen LRT di pusat bandaraya Kuala Lumpur ekoran masalah kesesakan.
"Jadi kami cadangkan jika anda boleh berjalan kaki antara dua stesen, boleh buat demikian. Sukar untuk sediakan perkhidmatan ulang alik antara stesen sebab kesesakan jalan raya," kata CEO Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin.
Prasarana juga sedang menilai maklum balas untuk menambahkan laluan perkhidmatan bas.