Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktiviti tuai buah sawit masih terjejas akibat kurang pekerja asing

Aktiviti penuaian buah tandan segar dalam industri sawit negara masih lagi terjejas akibat kemasukan pekerja asing yang perlahan dan belum pulih sepenuhnya walaupun sempadan negara telah dibuka pada 1 April 2022.

Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Ravi Muthayah berkata keadaan tersebut tidak seharusnya berlanjutan malah kerajaan menyedari kebergantungan yang berterusan kepada pekerja asing boleh menjejaskan sektor perladangan sawit terutamanya dalam jangka masa panjang.

“Selagi kita tidak memperkenalkan teknologi yang dapat mengurangkan tenaga buruh maka kita tidak boleh lari daripada menggunakan tenaga kerja asing dalam sektor ini.

“Pekerja asing ini sebenarnya membantu menggerakkan ekonomi dan janganlah menganggap pekerja asing (telah) mengambil pekerjaan orang tempatan walaupun hakikatnya sektor perladangan ini kurang diminati oleh pekerja tempatan,” katanya pada Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga di Sektor Perladangan Sawit 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Sesi itu dianjurkan bersempena Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 Julai lepas.

Katanya kerajaan sentiasa menggalakkan pemain industri termasuk pekebun kecil menggunakan jentera agar tahap penggunaannya dapat dipertingkatkan selain mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan industri kelapa sawit.

Beliau berkata pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan penggunaan mekanisasi dalam sektor perladangan yang dijangka akan memberi impak terhadap kebergantungan kepada pekerja asing.

“Kementerian telah melancarkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) pada November 2021. Diharapkan dengan penubuhan konsortium itu, kita dapat meningkatkan aktiviti penyelidikan dengan teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam sektor perladangan,” katanya.

Sektor perladangan sawit di negara ini mencatatkan kerugian mencecah hampir RM10 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei lepas apabila sejumlah 75.2 juta kelapa sawit tidak dapat dituai atau dikutip susulan kekurangan tenaga kerja asing.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, sektor perladangan tersebut mengalami kekurangan pekerja asing kira-kira 54,000 orang apabila 53 peratus daripadanya untuk kategori kerja penuaian dan pemungutan buah tandan segar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS