Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bertemu Taliban tak bermaksud iktiraf - Pegawai Hadi
Diterbitkan:  Feb 8, 2022 5:43 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Pegawai daripada pejabat duta khas kerajaan ke Timur Tengah, Syahir Sulaiman tampil menjelaskan mengenai sesi pertemuan dengan wakil Taliban di Doha, Qatar baru-baru ini yang mencetuskan kritikan segelintir pihak.

Pegawai kepada Abdul Hadi Awang itu berkata pertemuan tersebut merupakan satu sesi dialog yang disusun oleh Kementerian Luar Negeri (Mofa) di Qatar atas permintaan pejabat duta khas, namun ia bukanlah bermaksud satu “pengiktirafan” kepada kerajaan tersebut.

“Seluruh dunia melakukan libat urus dengan Afghanistan/Taliban menerusi pelbagai saluran ‘dialog’, termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), China dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syahir yang memetik kenyataan EU berkata “dialog tidak menunjukkan pengiktirafan tetapi merupakan sebahagian daripada libat urus pengurusan kami”.

Sedangkan katanya, pendirian Abdul Hadi selaku duta khas berkenaan pengiktirafan, adalah kekal sama seperti dinyatakan Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah.

Pada 12 Jan lalu, Saifuddin dilaporkan berkata Malaysia hanya bersedia membuat keputusan berkaitan pengiktirafan terhadap Taliban sekiranya organisasi antarabangsa seperti OIC menyatakan pendirian berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, wakil tetap PBB Taliban, Mohammed Suhail Shaheen, menulis mengenai pertemuan yang berlangsung pada 3 Feb itu di Twitter, dengan berkata bahawa perbincangan antara dia dan Abdul Hadi adalah mengenai keperluan Malaysia untuk menyediakan bantuan ekonomi dan kemanusiaan kepada Afghanistan.

Abdul Hadi dalam satu kenyataan kemudian berkata fokus utama lawatan adalah untuk menyatakan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan Qatar dalam usaha membina semula

Afghanistan - termasuk menyelaras bantuan kemanusiaan, membuka pintu kerjasama ekonomi, pendidikan, dan kebajikan - selain mengeratkan hubungan Malaysia dan Qatar.

Kenyataan Abdul Hadi itu mengundang kritikan, antaranya dari Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Salahuddin Ayub yang menyifatkannya sebagai mendahului kabinet, terburu-buru dan gopoh, sedangkan kerajaan belum secara rasmi mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.

Kata Salahuddin, tindakan Abdul Hadi diperhati dunia dan memberi imej buruk kepada negara, selain mempersoalkan apakah dia diberikan kuasa untuk membuat kenyataan sedemikian bagi pihak kerajaan.

Mengulas lanjut, kata Syahir, semasa dialog berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengutamakan pembangunan semula dan usaha kemanusiaan di Afghanistan, selain

Abdul Hadi turut menekankan keperluan wujudnya kestabilan dan keamanan.

Tambah Syahir, pejabat duta khas bekerja rapat dengan Wisma Putra, Kedutaan Malaysia dan Mofa Qatar di sepanjang pertemuan tersebut.

Dia turut memetik hadis Nabi Muhammad SAW bahawa “umat Islam adalah seperti satu jasad, jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit”.

“Begitu jugalah perasaan saudara kita di Palestin, Afghanistan, Yaman, Syria dan Rohingya, yang memerlukan bantuan dan perhatian tertinggi daripada kita,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS