Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penggunaan pengimbas suhu tidak akan diwajibkan, kata Khairy
Diterbitkan:  Jan 20, 2022 6:39 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk tidak mewajibkan lagi penggunaan pengimbas suhu di premis, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

Pada sidang media di Parlimen, hari ini, dia berkata pemeriksaan suhu didapati tidak berkesan dalam membendung penularan Covid-19.

Tambahan pula, mempunyai suhu yang tinggi tidak semestinya bermakna seseorang itu dijangkiti.

“Kami telah mengkajinya dan hakikatnya, ini (pemeriksaan suhu) bukan satu cara untuk mencegah penularan wabak Covid-19. Nampaknya, tidak ada kaitan.

“Nasihat kami, jika kamu tidak sihat dan ada gejala, jangan keluar rumah. Kita tidak perlu periksa suhu semua orang,” katanya.

Justeru, Khairy berkata, memadai bagi orang ramai yang ingin masuk ke mana-mana premis sekadar merekodkan butiran diri menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Jadi selepas dipinda nanti SOP pada sesi mesyuarat kuartet (Covid-19) akan datang, tidak lagi diwajibkan premis ada pengimbas suhu lagi. Memadai hanya imbas MySejahtera," katanya.

Bagaimanapun, menteri kesihatan itu berkata persetujuan membatlkan penggunaan pengimbas suhu membabitkan pengumuman SOP seluruh negara dan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Mengenai buku log pelawat secara fizikal, Khairy berkata adalah didapati ia tidak membantu untuk mengesan mereka yang mungkin dijangkiti.

“Kami akan mencadangkan kepada MKN untuk menghapuskan buku itu kerana saya boleh beritahu kamu bahawa kami tidak menggunakan buku itu untuk mengeesan mereka yang mungkin dijangkiti,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS