Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan supaya mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baru Cina yang dilihat tidak sensitif terhadap masyarakat Tiong Hua.
"DAP meminta kerajaan persekutuan untuk mengkaji dan memperbetulkan SOP terbaru mereka untuk perayaan Tahun Baru Cina, yang bukan hanya tidak sensitif terhadap masyarakat Cina tetapi benar-benar tidak menghormati.
"Kontroversi terbesar adalah melarang makan malam perjumpaan Tahun Baru Cina dan keluarga berkumpul.
"Membolehkan makan malam perjumpaan Tahun Baru Cina yang hanya untuk ahli keluarga di satu rumah tetapi bukan ahli keluarga yang tinggal berdekatan, bukan makan malam perjumpaan tetapi makan malam biasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan ramai pihak keliru dengan SOP untuk sambutan Tahun Baru Cina terutama membabitkan aktiviti makan malam keluarga yang hanya dibenarkan bagi individu di rumah yang sama.
Beberapa ahli politik dari kedua-dua belah pihak mempersoalkan ziarah keluarga untuk perayaan itu sedangkan pada masa sama sektor ekonomi lain seperti pasar malam dibenarkan untuk beroperasi.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa perayaan di negeri-negeri semenanjung dan Sabah akan terhad kepada anggota keluarga yang tinggal bersama.
Lawatan dari rumah ke rumah, perjalanan rentas daerah dan perjalanan rentas negeri adalah dilarang.
Bagaimanapun, kerajaan negeri Sarawak akan memutuskan SOPnya sendiri kerana beberapa bahagian di negeri itu kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Tahun Baru Cina jatuh pada 12 Februari tahun ini dan secara tradisinya ia disambut selama 15 hari.
Sementara itu, Lim berkata SOP yang diperkenalkan kerajaan membuatkan rakyat Malaysia kelihatan "bodoh".
"Sekiranya ibu-bapa saya tinggal di seberang jalan, adakah mereka seharusnya meraikan dan makan sendirian, dan tidak dapat dikunjungi oleh ahli keluarga mereka. Ini akan menjadi sambutan Tahun Baru Cina yang sunyi dan kosong bagi banyak warga emas.
"Adalah tidak masuk akal bahawa pasar malam dibenarkan tetapi tidak boleh berkunjung jumpa keluarga hanya kerana mereka tinggal di rumah yang berlainan di daerah yang sama," katanya.