Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pencemaran di LRA Rantau Panjang disyaki dari sisa sebelum ini
Diterbitkan:  Nov 19, 2020 9:51 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Pencemaran bau yang dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang disyaki berpunca daripada sisa mendakan pencemaran yang berlaku sebelum ini.

Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas) berkata pada 7 petang semalam, pihaknya dan Air Selangor telah mengesan bau 1 ton di Sungai Sembah dan muka sauk LRA Rantau Panjang yang berlarutan sekitar 1 jam hingga 1.5 jam, sehingga menyebabkan tugasan dihentikan.

“Hasil siasatan secara menyeluruh mendapati pencemaran bau tersebut disyaki berpunca daripada baki kesan-kesan bau yang terdapat di tebing sungai atau kemungkinan mendakan di kawasan sekitar muka sauk ekoran insiden pencemaran bau yang lalu berikutan aliran sungai yang tinggi semalam,” menurut Luas dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Luas, susulan tindakan mitigasi yang dilakukan, LRA Rantau panjang telah kembali beroperasi semula selepas tiga jam ditutup.

Luas juga berkata pihaknya telah mengaktifkan pengepaman air kolam di Bestari Jaya bagi tujuan ‘flushing’ dan mempercepatkan aliran ke hilir sungai.

“Tindakan mitigasi berkenaan berjaya mengekang pencemaran tersebut dan LRA Rantau Panjang telah dapat beroperasi semula kurang daripada tempoh 3 jam, iaitu pada jam 9.30 malam (18 November 2020),” katanya.

Semalam, LRA Rantau Panjang ditutup semula selepas pencemaran bau dikesan di muka sauk loji berkenaan.

Loji berkenaan adalah antara empat yang ditutup minggu lalu setelah sebuah kilang dipercayai membuang sisa kimia yang akhirnya mencemar Sungai Selangor.

Ia kembali beroperasi semula pada 11 November lalu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS