Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petronas sasar sifar pelepasan karbon pada 2050

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyasarkan untuk mencapai Sifar Bersih Pelepasan Karbon (NZCE) menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya terhadap kelestarian, keseimbangan alam sekitar, serta pertimbangan tadbir urus dan sosial.

Syarikat minyak negara itu berkata NZCE adalah selaras dengan misi kumpulan, iaitu menjadi rakan penyelesaian dan tenaga yang progresif, memperkayakan kehidupan untuk masa depan yang lebih mampan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Petronas sedang memainkan peranannya dalam menyediakan perniagaan dan masyarakat akses kepada tenaga yang berpatutan, selamat dan berterusan.

“Kumpulan ini komited dalam memenuhi matlamatnya untuk menyediakan tenaga yang lebih bersih serta penyelesaian yang dapat memberi manfaat kepada tempat tinggal kita, juga para pelanggan menerusi pengurangan pelepasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Matlamat NZCE menjelang 2050 dipandu oleh Agenda Kelestarian Petronas, iaitu komitmen jangka panjang kumpulan itu bagi Penciptaan Nilai Berterusan, Melindungi Alam Sekitar, Kesan Sosial Positif dan Tadbir Urus yang Bertanggungjawab dalam keseluruhan rantaian nilai bersepadunya.

Bagi melengkapkan aspirasi baharu itu, Petronas turut melancarkan penjenamaan baharunya “Passionate about Progress”, yang menunjukkan komitmen syarikat untuk terus mencipta kejayaan, progresif dan penyelesaian berterusan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS