Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berita ringkas di Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Jul 23, 2020 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Berikut adalah berita-berita ringkas persidangan Dewan Rakyat sehingga tengah hari ini:

K’jaan peruntuk RM67 juta baik pulih balai polis daif

Sejumlah RM67 juta peruntukan diberikan tahun ini bagi membaik pulih 323 balai-balai polis daif di seluruh negara, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin.

Beliau berkata pada tahun sama, sebanyak RM22 juta telah diperuntukkan bagi membaiki lif-lif rosak di balai yang terlibat.

Pada 2019 sebanyak RM100 juta digunakan bagi membaik pulih dan menyelenggara 236 balai-balai polis daif, katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Ada keperluan kaji semula penjualan arak di kedai-kedai runcit

Terdapat keperluan untuk melihat semula penjualan arak di kedai-kedai runcit kerana ia lebih banyak memberi kesan negatif berbanding positif kepada masyarakat, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Sehubungan itu, KPKT telah mengeluarkan surat pada 9 Jun bagi memaklumkan kepada semua kerajaan negeri untuk mengenal pasti premis khas penjualan arak dan meningkatkan penguatkuasaan penjualan arak bagi menangani menangani kesan negatif minuman arak kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang mahu kementerian melihat semula penjualan arak di kedai-kedai runcit kerana ia mempunyai lebih banyak kesan negatif kepada masyarakat.

"Bagi tempoh 2015 hingga 2020, terdapat 771 kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk yang membunuh 44 orang," katanya dan menjelaskan terdapat 155 kemalangan melibatkan pemandu mabuk dilapor dari Januari hingga Jun tahun ini.

SIP: Lebih 300 ribu pekerja diarah cuti tanpa gaji dapat manfaat

Sejumlah 319,000 permohonan diterima daripada majikan bagi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melibatkan dua juta pekerja yang menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) sehingga 30 Jun lepas melibatkan pembayaran RM5.2 bilion, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

“Di bawah ERP (Program Pengekalan Pekerjaan) pula, seramai 322,000 orang pekerja diberikan notis cuti tanpa gaji telah menerima manfaat melibatkan bayaran RM193.4 juta,” katanya bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai jumlah permohonan serta penerima faedah SIP pada sesi soal jawab.

Seramai 4,936 belia mendaftarkan perniagaan dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM126.7 juta serta mewujudkan 10,450 peluang pekerjaan melalui Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Shamsudin berkata secara keseluruhan, seramai 5,001 belia telah dilatih menerusi program itu.

Selain itu, Mas Ermieyati juga berkata antara langkah utama diambil bagi membina “bangsa usahawan” adalah membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat melalui program outreach, menerapkan nilai dan budaya keusahawanan dalam sistem pendidikan serta memepromosikan keusahawanan dalam kalangan graduan sebagai kerjaya pilihan oleh program latihan keusahawanan iaitu Protege.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS