Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K’jaan akan bina 12,000 rumah baru awam di Wilayah Persekutuan
Diterbitkan:  Jul 16, 2020 1:28 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

PARLIMEN l Sebanyak 12,000 rumah baharu Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) berkeluasan 800 kaki persegi akan dibina di bawah program ‘Urban Renewal’ bagi tujuan menggantikan rumah yang usang kepada saiz lebih besar.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata ini kerana penambahbaikan rumah PA dan PPR yang telah uzur tidak mencukupi, ditambah pula saiz asal rumah yang amat kecil iaitu sekitar 400 kaki persegi.

“Kita juga merancang dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kira-kira 20,000 unit rumah kos rendah baharu akan dibina,” katanya menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai rancangan penaiktarafan PA dan PPR di Kuala Lumpur pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu Annuar berkata lima inisiatif akan dilaksanakan sebagai usaha mengatasi tekanan disebabkan kemiskinan bandar.

Ia termasuk program My Grocer untuk membeli keperluan harian dengan harga rendah; My Bus (untuk keperluan hantar anak ke sekolah); My Food (bantuan berdasarkan bank makanan secara tersusun); My Medic (perkhidmatan kesihatan ke PPR di 178 tempat dikenal pasti); dan My Job (program menambah pendapatan sampingan).

“Kesemua program ini akan dilancarkan secara berperingkat dan tertumpu kepada 178 kawasan PA dan PPR bagi meningkatkan keselesaan penduduk,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Nik Nazmi yang ingin tahu status pembinaan perumahan awam di Setapak Jaya 1A yang lama tertangguh, Annuar berkata dianggarkan 588 unit rumah baharu akan dibina dan dijangka siap pada 2024.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS