Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tangguh keputusan kes hina mahkamah terhadap Mkini

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan ke tarikh yang ditetapkan kemudian berhubung permohonan menghina mahkamah oleh Peguam Negara (AG) terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Ketua Pengarang Malaysiakini mengenai komen pembaca yang telah disiarkan dalam portal berita itu.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf yang mengetuai panel itu memberitahu pihak-pihak dalam prosiding hari ini bahawa mahkamah akan memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh keputusan tersebut.

Mahkamah sebelum itu mendengar prosiding komital terhadap Mkini Dotcom dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan. 

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S Nakunavathy mewakili Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun manakala peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili responden yang telah mengemukakan hujah masing-masing.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Pada 2 Julai, Mkini Dotcom, syarikat yang mengendali portal berita Malaysiakini dan Gan gagal mengetepikan kebenaran yang diperoleh AG untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

Pada 17 Jun, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan sebelah pihak AG untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom dan Gan.

AG memohon kebenaran untuk memulakan prosiding itu terhadap Mkini Dotcom dan Gan berkaitan komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1" yang didakwa bersifat menghina.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS