Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembalakan kembali di kawasan pertikaian, kata pemantau Orang Asli
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 11:00 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Pusat Prihatin Orang Asli (COAC) mendedahkan bahawa aktiviti pembalakan telah bermula di sekurang-kurangnya dua kawasan perkampungan orang Asli setelah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

“Di Kampung Sungai Papan, Gerik-Perak pembalak sudah mula menggerakan jentolak bagi mempersiapkan jalan pembalakan di kawasan konsesi mereka beberapa kilometer di kawasan pedalaman.

“Ia di kawasan sama setelah (Orang Asli) Temiar melakukan sekatan tahun lalu, di mana beberapa dari telah mereka ditangkap dan ditahan dan kemudian Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) akhirnya menggesa untuk menghentikan (pembalakan di kawasan tersebut) pada Ogos 2019,” kata COAC dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Jelas, bagi pihak menteri besar, ia hanya menjadi penangguhan sementara buat Orang Asli,” kata COAC.

Pada 1 Ogos 2019, Ahmad Faizal yang ketika itu merupakan menteri besar di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk menghentikan sementara pembalakan di kawasan tersebut setelah menerima kritikan berkenaan perkara itu.

"Menteri Besar dengan serta-merta mengarahkan supaya menghentikan sementara aktiviti pembalakan terhadap tanah (orang asli) yang masih perlukan perbincangan di antara kerajaan negeri dan komuniti Orang Asli,” kata Faizal Azumu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P WaythaMoorthy pada ketika itu dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu hadir selepas pertemuan di antara Waythamoorthy, Ahmad Faizal dan peguam negara pada ketika itu Tommy Thomas setelah menteri besar itu menerima kecaman kerana enggan mengiktiraf tanah adat Orang Asli di kawasan terbabit dan mempertahankan aktiviti pembalakan yang diberi kebenaran oleh kerajaan negerinya.

Untuk rekod, ketika ini, Ahmad Faizal masih menyandang jawatan yang sama namun di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

COAC turut menyifatkan bahawa bukan cuma kawasan tersebut yang telah bermula aktiviti pembalakan setelah kawalan sekatan PKPP dilaksanakan.

“Di Lojing-Gua Musang jalan di Kelantan, Temiar di Kampung Kelaik, Pos Brooke juga mula kelihatan jentolak.

“Mereka (pembalak) datang untuk kayu balak dan untuk menanam durian Musang King. Nampaknya, kembali kepada norma lama buat Orang Asli,” kata COAC lagi.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkenaan perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS