Ketika berlegar dakwaan menyatakan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali akan menubuhkan parti baru, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, sebaliknya menegaskan bahawa beliau sendiri tidak pernah dimaklum mengenai perkara itu.
Katanya, menteri hal ehwal perdagangan antarabangsa dan industri itu juga tidak pernah ditemui dan memaklumkan mengenai penubuhan sebarang parti.
"Dari mana anda mendapat maklumat ini. Sekadar khabar angin, jadi jangan dengar khabar angin.
"Azmin pun tidak pernah memaklumkan pada saya kata nak daftar parti. ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) ada terima banyak permohonan nak buka parti baru tetapi tiada (permohonan) dari Azmin," katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa Azmin dan penyokongnya akan menubuhkan parti yang disebut sebagai Parti Keadilan Negara.
Terdahulu, isu tersebut tular di media sosial dengan anggota parlimen Gombak itu didakwa bakal menubuhkan parti tersebut bersama pemimpin lain yang bertindak keluar daripada PKR sekali gus menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Perkara itu sebelum ini turut dinafikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, yang turut dikaitkan dengan penubuhan parti itu.
Sementara itu mengulas mengenai pemilihan Bersatu, Hamzah dipetik sebagai berkata, pihaknya sedang menunggu kebenaran ROS untuk menyambung semula mesyuarat bahagian yang tertangguh susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Sebaik ROS menarik semula penangguhan terbabit, kita akan mengumumkan bila tarikh mesyuarat agung parti. Buat masa ini saya akan meminta kebenaran (ROS) untuk memulakan mesyuarat bahagian terlebih dahulu.
"Ini kerana kita masih ada lagi 29 bahagian yang belum mengadakan mesyuarat. Jadi tiada isu kononnya kita tidak mahu mengadakan mesyuarat dan sebagainya," katanya yang juga setiausaha agong Bersatu seperti dilaporkan.