Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Titah agong bukti kerajaan ini sah, kata pemimpin PN

Titah Yang di-Pertuan Agong pada sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat membuktikan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berasaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata pemimpin PN.

Dalam kenyataan bersama, pemimpin komponen PN menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas titah diraja membuktikan keabsahan kerajaan PN.

"Titah Tuanku menjadi bukti jelas keabsahan kerajaan PN yang dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, serta prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

"Titah Tuanku juga memberikan dorongan semangat dan kekuatan kepada kerajaan PN untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

"Paling penting bagi kerajaan ialah pelaksanakan amanah bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu; Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Johnity Ongkili; Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Gapari Kitingan dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg.


Masa PH pun Agong sebut ‘kerajaan beta’ - Anwar


Pada 18 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam urusan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Titah Seri Paduka, sejurus selepas peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad, baginda telah mengadakan pertemuan dengan semua ahli parlimen pada 25 dan 26 Februari untuk menilai sokongan dan kepercayaan setiap daripada mereka.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu kerajaan PN akan sentiasa menjunjung titah tuanku yang mahukan keutamaan diberikan kepada rakyat jelata.

"Sebagai kerajaan Ke-bawah duli yang maha mulia tuanku, kerajaan PN akan sentiasa menjunjung titah tuanku yang berkehendakkan keutamaan sentiasa diberikan kepada kesejahteraan rakyat jelata.

"Kami berdoa semoga rakyat dan negara ini terus aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan tuanku," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS