Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan buang pekerja sewenang-wenangnya - Agong
Diterbitkan:  May 18, 2020 11:26 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui banyak industri dan perniagaan terjejas akibat penularan wabak Covid-19 namun menyeru para majikan supaya tidak membuang pekerja sewenang-wenangnya.

“Semua pihak hendaklah bersedia melakukan pengorbanan demi meringankan bebanan rakyat jelata dan juga menyelamatkan ekonomi negara,” titah Seri Paduka semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Al-Sultan mengarahkan kerajaan supaya mencari pendekatan dalam membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk akibat pandemik itu.

Seri Paduka menzahirkan harapan inisiatif yang diambil oleh Majlis Tindakan Ekonomi termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM260 bilion bagi melindungi kebajikan rakyat dan ekonomi negara akan segera dirasai impaknya.

“Pakej tersebut adalah suatu yang amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak.

“Beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu, cabaran yang kita hadapi ini akan dapat kita tangani bersama. InsyaAllah,” titahnya.

Seri Paduka juga menzahirkan keprihatinan terhadap cabaran semasa yang memberi kesan kepada Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka dan yakin kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS