Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penghinaan pada demokrasi jika dibenar joging tapi parlimen cuma bersidang sehari'
Diterbitkan:  May 2, 2020 4:24 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) berkata parlimen perlu diizinkan untuk bersidang lebih sehari selepas kerajaan memutuskan untuk membuka semula ekonomi dan membenarkan beberapa aktiviti sosial susulan krisis Covid-19 semakin baik.

Setiausaha Agung Hakam Lim Wei Jiet menyatakan bahawa mulai 4 Mei, perniagaan mula beroperasi dengan kapasiti penuh sementara aktiviti sosial seperti berjoging dan bermain golf juga akan dibenarkan dengan penjarakan sosial.

"Akan jadi penghinaan terhadap dewan parlimen dan demokrasi perlembagaan di Malaysia sekiranya Parlimen dianggap kurang penting berbanding kegiatan berkenaan.

"Tidak ada alasan sekarang bagi pemerintah untuk hanya membolehkan parlimen bersidang satu hari tanpa memberi gambaran tarikh lebih lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Lim menekankan bahawa fungsi parlimen sangat penting untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi kesan ekonomi dari pandemik Covid-19.

"Menteri Sumber Manusia (M Saravanan) hari ini mengumumkan bahawa undang-undang perburuhan mesti disemak semula agar sesuai dengan 'normal baru' Covid-19 - bagaimana lagi yang dapat dilakukan seseorang tanpa Parlimen bersidang lebih dari satu hari?" katanya.

Dia menambah bahawa kerajaan seperti di UK, Australia dan Singapura tidak menghadkan tempoh persidangan Parlimen.

"Ketetapan seperti sidang Parlimen maya menggunakan aplikasi telesidang, penjarakan sosial dan pemakaian topeng dapat diatur.

"Dan negara-negara ini memang telah meluluskan undang-undang yang sangat diperlukan di tengah-tengah pandemik untuk menolong orang yang memerlukan dan menyokong ekonomi.

"Hakam menyeru kerajaan mengetepikan politik dalam masa-masa sukar seperti ini. Politik tidak boleh menjadi penghalang kepada perundangan yang sangat diperlukan oleh rakyat," katanya.

Menteri undang-undang, Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata parlimen bersidang sehari susulan Covid-19.

Namun, pembangkang menuduh kerajaan berusaha menyekat sebarang sidang parlimen kerana bimbang Perikatan Nasionak (PN) akan terancam.

Kerajaan PN ditubuhkan pada Mac tetapi majoriti parlimen masih belum jelas dan belum diuji.

Kerajaan baru dibentuk setelah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar dari Pakatan Harapan, bersama dengan sekumpulan bekas ahli parlimen PKR.

Ia menyebabkan kejatuhan kerajaan PH. Bersatu dan sekumpulan bekas ahli parlimen PKR kemudian bergabung dengan Umno, PAS, GPS dan parti kecil lain untuk membentuk kerajaan PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS