Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Benarkah sidang parlimen sehari dicadangkan KKM?
Diterbitkan:  Apr 27, 2020 2:42 PM
Dikemaskini: Apr 28, 2020 9:12 AM

Ahli parlimen DAP Lim Kit Siang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan sama ada keputusan mengadakan sidang parlimen sehari sebenarnya atas perintah atau nasihat mereka.

Beliau memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang mengatakan bahawa tindakan kerajaan dalam mengendalikan Covid-19 dibuat atas nasihat KKM.

“Adakah Kementerian Kesihatan menasihatkan agar tidak mengadakan mesyuarat di parlimen, termasuk sidang Parlimen dan mesyuarat jawatankuasa pilihan secara maya (atas talian), untuk mengamalkan dan meneliti langkah-langkah yang dilakukan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, dan sebaliknya mencadangkan persidangan satu hari pada 18 Mei hanya untuk mematuhi syarat dalam perlembagaan bahawa Parlimen mesti bersidang setiap enam bulan sekali?" katanya.

Bagaimanapun, Lim mengatakan beliau “ragu” bahawa KKM memberikan nasihat sedemikian dan meminta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjelaskannya.

"Saya harap Noor Hisham, dalam sidang medianya hari ini dapat memberi penjelasan sama ada KKM telah menasihatkan untuk mengadakan sidang Parlimen selama satu hari atau tidak.

Lim mengulas lanjut mengenai tindakan negara lain, seperti Perancis, yang terus mengadakan sidang parlimen dan sesi perbahasan walaupun terdapat krisis kesihatan.

Dilaporkan bahawa Dewan Rakyat akan bersidang selama satu hari pada 18 Mei, berikutan wabak koronavirus. Dalam sesi tersebut, parlimen hanya akan membincangkan RUU dan urusan berkaitan kerajaan.

Sesi soalan lisan, soalan bertulis, usul dan kamar khas tidak akan diadakan.

Ia ditentang oleh pembangkang, dengan ahli parlimen dari Pakatan Harapan yang lain, termasuk Lim, yang meminta Dewan Rakyat untuk mengadakan sesi persidangan atas talian yang dalam tempoh lebih panjang.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata PH tidak mempunyai hak untuk menentang berhubung persidangan satu hari tersebut. 

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS