Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seperti Covid-19, berita palsu juga binasakan negara

ULASAN | Penyebaran berita melalui media sosial hari ini bagaikan sambaran kilat. Berita mampu sampai ke pengetahuan orang ramai dalam sekelip mata tanpa mengenal sempadan. Malangnya, kesahihan berita tidak menjadi keutamaan.

Masalah penyebaran berita palsu ini bukanlah satu perkara yang baru. Namun ia kini telah menjadi perkara yang sebati dalam diri rakyat di Malaysia. Sukar untuk kita ketahui kesahihan sesebuah berita.

Begitu juga dalam keadaan negara yang sedang dilanda penularan wabak Covid-19, bermacam-macam berita dan cerita dihidangkan di depan mata kita di pelbagai media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Telegram atau Instagram.

Bermula detik pengumuman oleh perdana menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini, tetapi pengumuman baru dibuat memaklumkan lanjutan sehingga tarikh 14 April nanti, semua rakyat terkejut dan tergamam.

Walaupun pada awalnya rakyat sendiri yang mula mendesak pihak kerajaan untuk mengumumkan ‘lockdown’ sepertimana yang trending di Twitter pada 16 Mac lalu, tetapi selepas pengumuman dibuat mengikut kehendak rakyat, mereka sendiri mulai panik. Mungkin kerana ini pertama kali dalam sejarah Malaysia arahan ini dikeluarkan.

Tujuan kerajaan menguatkuasakan PKP adalah untuk menghalang rakyat sesuka hati keluar rumah tanpa tujuan. Demi menghalang virus Covid-19 dari terus merebak, kerajaan menasihatkan agar rakyat terus duduk di rumah selama tempoh empat minggu ini.

Barangkali ramai orang sudah bosan tidak tahu apa nak buat di rumah, maka bersepahlah berita-berita palsu yang ditular pada setiap masa dan ketika.

Antara berita palsu yang mengganggu proses PKP ialah kononnya pihak polis akan mengeluarkan saman kepada pemandu kereta yang membawa lebih daripada seorang telah tersebar luas.

Begitu juga kononnya pihak tentera akan menggunakan kayu untuk memukul sesiapa sahaja yang mengingkari arahan keluar rumah tanpa tujuan tertentu.

Bukan itu sahaja, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja menyebarkan imej grafik pemimpin tertentu di media sosial disertakan dengan kata-kata kontroversi yang kononnya keluar dari mulut pemimpin tersebut.

Walhal cerita sebenarnya bukan sebegitu. Impak perbuatan ini adalah amat besar.

Berita-berita palsu ini disebarkan dengan niat untuk mengeliru, memanipulasi, dan mengapi-apikan perasaan rakyat. Dengan ini, timbullah persepsi-persepsi palsu terhadap seseorang individu atau organisasinya.

Tindakan menyebarkan berita palsu ibarat menyebarkan virus Covid-19. Kesan dan akibat daripada perbuatan ini cukup serius sehingga boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat awam.

Sehubungan itu, adalah penting bagi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mencari mekanisme terbaik dalam memantau berita palsu agar “wabak” ini tidak tersebar dan terus menjejaskan keamanan negara.

Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita juga perlu menjalankan tanggungjawab untuk memastikan penyebaran berita palsu ini dapat dinokhtahkan. Gunakan segala sumber maklumat sedia ada untuk mengesahkan berita-berita ini sebelum menyebarkannya.

Ingat, kita adalah apa yang kita baca. Jadi, jangan biarkan diri terjerat dengan maklumat-maklumat palsu.


CAMELIA K adalah pemerhati isu-isu semasa tanah air.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS