Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Namakan Muhyiddin sebagai calon PM bukan keputusan MPT Bersatu'
Diterbitkan:  Feb 28, 2020 9:19 PM
Dikemaskini: 3:08 PM
  • KEMAS KINI - 11.00 malam: Redzuan tegaskan keputusan namakan Muhyiddin sebagai calon PM dapat sokongan padu.

Kenyataan yang mendakwa bahawa ahli parlimen Bersatu bersama kumpulan Azmin Ali telah menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri hari ini bukan dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, kata A Kadir Jasin.

Sebaliknya, kata Kadir yang juga anggota majlis itu, mereka tidak dibawa berunding atau dimaklumkan mengenai hal berkenaan.

“Pendirian terakhir MPT yang dibuat dalam mesyuarat malam Isnin lalu ialah Tun Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kadir yang juga adalah penasihat media perdana menteri mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, yang memaklumkan bahawa anggota parlimen Bersatu mencalonkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Bagaimanapun, Ahli MPT Bersatu Redzuan Yusof menegaskan bahawa keputusan parti itu untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri adalah keputusan yang kukuh dan mendapat sokongan padu.

Redzuan berkata demikian ketika ditemui pemberita dan diminta mengulas kenyataan Kadir.

"Itu, tak tahu la, itu pendapat dia, saya pun tak tahu, apa yang kita lihat hari ini, saya nampak sokongan terhadap Muhyiddin solid (kukuh), kalau Kadir kata tidak, kita baru habis mesyuarat pagi ini dan kenyataan rasmi pun telah dikeluarkan oleh setiausaha agung Bersatu.

"Kalau itu tidak dapat solid, saya tak tahu lagi macam mana jadi solid," katanya kepada media ketika ditemui di luar rumah Muhyiddin di Bukit Damansara.

Seorang lagi ahli MPT Bersatu, Rais Hussin ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia cuma tahu tentang Muhyiddin dinamakan sebagai calon perdana menteri melalui kenyataan media.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pencalonan Muhyiddin, Rais berkata: "Sudah tentu saya akan bersetuju. Beliau berkebolehan dan mempunyai pengalaman."

Rais bagaimanapun percaya bahawa Mahathir sendiri setuju untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Sementara itu, mengulas sokongan Umno dan PAS terhadap Muhyiddin, Kadir berkata ia adalah tidak menghairankan.

“Tidak seperti Dr Mahathir yang hanya bersedia menerima pemimpin Umno sebagai individu, Muhyiddin sanggup menerima mereka sebagai parti.

“Prinsip Dr Mahathir adalah beliau menghormati keputusan rakyat jelata yang menolak penjenayah kleptokrasi dalam PRU 2018.

“Perlu diingatkan semula bahawa Bersatu adalah cetusan daripada kempen Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat tahun 2016,” katanya.

PAS dan Umno, masing-masing sebelum ini mahu parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.

Muhyiddin setakat ini mendahului dengan 96 sokongan ahli parlimen. Sebanyak 36 kerusi adalah daripada partinya, termasuk 10 ahli baru yang diketuai bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Sokongan lain adalah dari PAS (18), Umno (39), MCA (2) dan MIC (1).

PH yang mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri setakat ini mendapat 92 sokongan ahli parlimen dari PKR, DAP, dan Amanah.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS