Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Royalti minyak Kelantan kena tanya Guan Eng - Timb MB

Apabila ditanya mengenai perkembangan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan perdana menteri dan menteri hal ehwal ekonomi sebelum ini memberi jaminan kerajaan persekutuan akan buat bayaran.

"Saya pernah sebut sekarang ini terletak pada Kementerian Kewangan, sebab mereka yang akan keluarkan cek bayaran.

"Jadi tersangkut di Kementerian Kewangan. Perdana menteri sendiri kata akan bayar royalti, dalam mesyuarat majlis kewangan negara pun sudah disahkan perkara itu. Jadi apa lagi masalah?

"Isu sekarang tentunya ada di Kementerian Kewangan. Jadi sebaiknya tanya menteri kewangan," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu, hari ini.

Untuk rekod royalti petroleum kepada Kelantan itu diberi jaminan oleh perdana menteri untuk dilunaskan.

Malah Kelantan juga sudah menarik balik saman dikemukakan terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan berhubung perkara itu.

Sementara itu Mohd Amar berkata, pihaknya kini mengambil sikap untuk tunggu dan lihat.

"Kita tengok keadaan dulu macam mana. Kita tunggu dan lihat.

"Sebelum ini pun dah dua kali menteri besar pergi jumpa perdana menteri. Kita tengoklah keadaan 'cuaca' macam mana," katanya yang juga naib presiden PAS. 

Lihat Komen
ADS