Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Eratkan hubungan sesama Islam pada Hari Raya - Sultan Mizan
Diterbitkan:  Jun 5, 2019 9:05 AM
Dikemaskini: 1:05 AM
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak menyambut hari raya dengan keseronokan semata-mata tetapi hendaklah menyambut hari kebesaran ini mengikut lunas-lunas yang tertentu.

Baginda bertitah Islam menggalakkan umatnya merayakan hari yang mulia ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan yang membuktikan kesyukuran serta kesedaran bahawa ibadat puasa yang telah ditunaikan perlu memberi kesan kepada nilai-nilai hidup secara berpanjangan dan dapat menginsafkan terhadap apa juga nikmat yang ada.

"Jika kita renungkan ibadat dalam Islam, tidak dapat tidak, kita akan sedar bahawa segala ajaran yang terkandung di dalamnya. Dan jika kita menyerapkan ajaran ini dalam kehidupan kita, sudah tentu kita akan mendapat banyak nikmat daripadanya.

"Ibadat puasa yang baru sahaja kita amalkan itu, adalah antara ibadat terpenting yang mempunyai banyak pengajaran untuk kita hidup dan mati dengan lebih sempurna," titah baginda dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut hari ini.

Sehubungan itu bagi menjamin kesungguhan istiqomah dalam beribadat, khususnya puasa di bulan Ramadan, Sultan Mizan mengingatkan seluruh rakyat agar melakukan amalan puasa enam pada bulan Syawal.

Di samping itu Sultan Mizan menyeru rakyat di negeri ini agar mengambil kesempatan pada Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan sesama umat Islam. Baginda juga menasihati rakyat untuk berkunjung ke rumah kaum keluarga, rakan-rakan dan kenalan yang kurang mesra sebelum ini untuk berbaik semula dan memohon maaf zahir dan batin.

“ Peluang ini juga dapat kita gunakan untuk merapatkan hubungan antara kaum, dengan menjemput rakan-rakan kita yang beragama lain, untuk bersama-sama ke rumah terbuka kita,” titah baginda.

Dalam pada itu baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menghargai pengorbanan pelbagai pihak yang terpaksa bertugas pada hari raya ini. "Tidak dilupakan juga kepada anggota pasukan keselamatan seperti polis dan anggota tentera, anggota bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam, kakitangan hospital, sektor perkhidmatan dan kakitangan media, radio dan televisyen yang sedang bertugas,” titah baginda.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS