Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin negara ucap takziah pemergian Khoo Kay Kim

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pagi tadi.

Baginda juga mengiktiraf sumbangan besar ahli sejarah terkenal itu kepada negara.

“Khoo adalah seorang prolifik dan rakyat Malaysia yang dihormati yang mendedikasikan hidupnya kepada Malaysia.

“Seorang wira sejati, peranannya dalam membina negara, menerusi pengajaran, penyelidikan, tulisan dan keterlibatan beliau dalam merangka Rukun Negara, mesti dihormati dan diakui. Pemergiannya adalah kehilangan besar kepada Malaysia,” menurut kenyataan daripada Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir menyifatkan pemergian Khoo sebagai satu kerugian besar kepada negara.

“Takziah saya yang paling mendalam kepada anggota keluarga anak Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pagi ini.

"Seorang sejarawan terkenal yang menyumbang begitu banyak untuk negara ini, pemergiannya merupakan kerugian besar," kata Dr Mahathir dalam ciapan Twitternya hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata pemergian sejarawan dan ahli akademik itu merupakan kehilangan cukup besar buat rakyat Malaysia.

“Beliau contoh unggul rakyat Malaysia, mempamerkan bagaimana untuk menjadi rakyat yang terbaik. Salam takziah buat keluarga mendiang dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan di laman Twitter rasmi beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali turut berkongsi rasa dukacitanya atas pemergian Khoo sambil berkongsi sekeping gambar pertemuannya bersama mendiang pada tahun lepas.

“Berdukacita di atas pemergian sejarawan negara Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim.

"Masih segar dalam ingatan saya pertemuan kami ketika Dialog #MalaysiaBaru di Shah Alam lebih setahun kali. Takziah buat Puan Sri Rathi Khoo, saudara Eddin Khoo & keluarga,” tulisnya di Twitter.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyifatkan pemergian Khoo sebagai kehilangan besar buat negara.

“Menerima berita pemergian Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebentar tadi. Ini adalah kehilangan yang besar bagi rakyat Malaysia.

“Semua sumbangan beliau tidak akan dilupakan, apatah lagi beliau merupakan nadi dalam penulisan Rukun Negara. Takziah kepada keluarga beliau,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail berkata mendiang adalah tokoh yang berjasa besar kepada negara.

“Salam takziah saya ucapkan kepada ahli-ahli keluarga mendiang tokoh sejarawan dan ahli akademik Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang telah meninggal dunia pagi tadi. Jasa Tan Sri kepada negara cukup besar. Kehilangan ini satu kehilangan yang tiada ganti,” tulisnya.

Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar adalah antara pemimpin yang turut menzahirkan ucapan takziah.

Khoo yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada Mei 1969.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS