Kerajaan akan mengumumkan harga petrol dan diesel selewat-lewatnya esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.
Malah, katanya, keputusan mengenai harga bahan bakar tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat mingguan kabinet semalam.
“Seperti yang disebut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, harga petrol akan ditetapkan selepas mesyuarat dengan pihak berkepentingan selesai.
“Keputusannya sudah ada. Tunggu sahaja keputusan rasmi yang akan diumumkan selewat-lewatnya esok,” katanya.
Sebelum ini, sumber yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini, kabinet belum mendapat kata putus mengenai harga petrol dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikanDr Mahathir.
"Tiada keputusan dibuat semalam," kata sumber itu.
Usaha mendapatkan ulasan yang sama daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga tidak berhasil.
Pada 23 Disember tahun lalu, Lim mengumumkan bahawa mulai 1 Jan, 2019, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan.
Berikutan itu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menentang keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.
PDAM juga meminta kerajaan menaikkan komisen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung.
Sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet semalam, Mahathir bertemu wakil dan pimpinan PDAM selama 45 minit bagi mendengar kebimbangan mereka.