Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PWTC masih milik Umno kata pengurusannya
Diterbitkan:  Dec 27, 2018 9:56 AM
Dikemaskini: 2:01 AM

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menempatkan Ibu Pejabat Umno tidak dijual kepada Gerbang Perdana Sdn Bhd, kata Ketua Pegawai Eksekutif Putrade, Shamsul Kamar Ahmad.

Gerbang Perdana, syarikat yang dikatakan pemilik baru PWTC, menafikan membeli bangunan itu selepas terdapat dakwaan bahawa ia dijual berikutan Umno berdepan masalah kewangan berpunca dari pembekuan akaun parti yang terkait dengan skandal 1MDB.

Kekeliruan terhadap pemilikan semula itu timbul apabila pengarah urusan Gerbang Perdana, Yahya Abdul Jalil dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Putrade Property Management Sdn Bhd hujung Oktober lalu, lapor The Malaysian Insight.

“Tidak bolehlah kaitkan syarikat-syarikat Yahya yang lain dengan PWTC. Dia membantu menguruskan sebagai ahli lembaga pengarah.

“PWTC tidak dijual dan bangunan itu masih milik Umno,” Shamsul dilaporkan sebagai berkata.

Yahya yang juga bersama dalam temubual itu menjelaskan pelantikan beliau sebagai ahli lembaga pengarah Putrade dibuat atas kapasiti peribadi dan bukannya syarikat.

“Tiada kena mengena dengan Gerbang Perdana. Memang saya memiliki Gerbang Perdana tetapi tidak timbul cerita PWTC telah dijual.

“Fakta ini perlu diperbetulkan. Saya bukan mewakili Gerbang Perdana, saya dilantik sebagai individu dalam PWTC,” Yahya dilaporkan sebagai berkata.

Gerbang Perdana dikaitkan dengan jambatan bengkok antara Malaysia dan Singapura 10 tahun lalu. Projek itu dibatalkan oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2006.

Berikutan pembatalan, Gerbang Perdana menuntut pampasan RM360 juta dari Putrajaya. Syarikat itu dibayar RM247 juta untuk kerja yang dijalankan sebelum projek itu dibatalkan.

Yahya berkata beliau dilantik berdasarkan pengalamannya sebagai pengarah urusan Advanced Maintenance Precision Management Sdn. Bhd. (AMPM) yang mempunyai kepakaran dalam menguruskan fasiliti bangunan.

“Saya pengurus fasiliti di bawah syarikat saya AMPM. Jadi di situ saya membekalkan pengalaman dan juga cara-cara untuk mengendali, menyelaras, dan menyempurnakan pengurusan fasiliti dalam sesebuah bangunan.

“Peranan saya sebagai pengurus fasiliti dan PWTC memang sudah ada pasukan mereka. Jadi saya di sini bergabung dengan mereka, staf yang sudah ada untuk bersama-sama membuat penyelenggaraan pada bangunan itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Terdahulu media melaporkan, Gerbang Perdana menyusun semula operasi PWTC selepas BN kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan aliran tunai parti tersebut juga dilaporkan agak teruk.

Yahya juga menafikan PWTC sedang berhadapan dengan kesukaran untuk mendekati syarikat pengurusan acara termasuk kementerian dan agensi kerajaan persekutuan untuk menganjurkan program di bangunan tersebut.

Sebaliknya, Yahya berkata Putrade sudah mempunyai asas yang kukuh dan beliau hanya melakukan penambahbaikan untuk bersaing dengan pusat konvensyen yang lain.

“Cumanya kita kena bekerja keras kerana sekarang ini sudah banyak pusat konvensyen, sangat kompetetif. Kita ada banyak pesaing dengan dewan yang canggih.

“PWTC sudah berusia lebih 30 tahun. Kita perlu posisikan semula kedudukan PWTC untuk menang, untuk dapatkan majlis-majlis terutamanya konvensyen antarabangsa,” beliau dilaporkan sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS