Pulangan paling rendah Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang diumumkan hari ini mempunyai kaitan dengan keyakinan pelabur dan tindakan kerajaan, kata Khairy Jamaluddin.
“Perkara yang terjadi ini adalah berkait rapat dengan keyakinan pelabur, baik dari dalam atau luar negara.
“Ditambah dengan banyak tindakan u-turn (pusingan u) dan keputusan flip-flop (bolak-balik) oleh kerajaan hari ini, ia hanya memburukkan lagi keadaan,” kata anggota parlimen Rembau.
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 6.5sen dan bonus 0.5 sen seunit ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember.
Kadar itu, mengikut Khairy, paling rendah semenjak penubuhannya pada Januari 1990.
Dalam kenyataan hari ini, Khairy berkata rakyat Malaysia masih belum jelas berkaitan pelan jangka masa panjang atau pakej rangsangan ekonomi yang akan dilaksanakan kerajaan.
“Tetapi yang kita dengar kini hanyalah projek kurun ke-20 seperti projek kereta nasional ketiga,” sindir bekas ketua Pemuda Umno itu.
Khairy bagaimanapun berkata jumlah diumumkan hari ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau di luar jangkaan.
Katanya, ini memandangkan banyak indikator dapat dilihat sepanjang tahun ini lebih-lebih lagi selepas pilihan raya umum ke-14 yang lalu.
“Misalannya, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada hari Selasa lalu jatuh ke paras terendah sejak tahun 2016 kepada 1,635 mata.
“Untuk rekod, trend penurunan ini sudah berlarutan semenjak bulan Mei 2018 yang pada ketika itu menunjukkan FBM KLCI berada pada paras 1,850 mata,” katanya.
Rentetan itu juga, kata Khairy, banyak saham-saham syarikat GLC utama negara juga mengalami trend penurunan yang sama.
“Memandangkan ASB melabur dalam pelbagai pasaran saham termasuk di dalam syarikat GLC, ia secara langsung memberi kesan kepada nilai pelaburan dan pulangan negatif kepada ASB,” katanya.