Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mat Hasan hilang kerusi Rantau, mahkamah arahkan PRK

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memerintahkan bahawa kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan sebagai kosong dan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pada pilihan raya umum ke-14 lalu adalah tidak sah.

Menurut hakim, Azimah Omar, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

“Ini diakui peguam oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulis.

“Dengan itu, mahkamah membenarkan pempetisyen memfailkan petisyen seperti berikut, Mohamad tidak dipilih sebagai ADUN Rantau dan pemilihannya tidak sah atau batal.

“Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta,” katanya.

Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa pegawai pengurus itu tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR, Dr S Streram masuk sedangkan Amino Agus tahu dia berada di luar pusat penamaan pada 28 April lalu.

"Ini adalah diskriminasi kepada pempetisyen (Dr  Streram) dan gangguan kepada proses demokrasi.

"Tindakannya tidak beretika dan tiada integriti," kata Azimah. Beliau juga mengarahkan Amino Agus untuk membayar kos sebanyak RM30,000.

Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

Susulan tindakan itu, Mohamad menang kerusi Rantau tanpa bertanding.

Sebanyak 19 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan selama 12 hari itu.

Pakar bius berusia 63 tahun itu diwakili empat peguam diketuai Hanif Kathri manakala Mohamad diwakili lima peguam diketuai Hafizam Harun.

Mohamad yang ditemui pemberita selepas penghakiman itu dibuat memberitahu bahawa dia akan berbincang dengan peguamnya sama ada untuk merayu keputusan tersebut.

"Saya hormati keputusan mahkamah.

"Saya ada 14 hari untuk buat rayuan selepas berunding dengan peguam saya," katanya.

Streram berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini kerana mengembalikan semula haknya dan pengundi boleh memilih calon pilihan mereka untuk kerusi DUN N27 Rantau.

"Saya harap akan terpilih sekali lagi dalam pilihan raya itu nanti," katanya.

Mohamad mula bertanding di kerusi Rantau pada PRU-11 tahun 2004, dan berjaya menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS