Kawasan hutan di Raub sedang diteroka dan dimusnahkan untuk membolehkan ladang durian dibuka, lapor sebuah akhbar berpengaruh di United Kingdom.
Menurut laporan The Guardian hari ini, kawasan yang terletak di Pahang itu menjadi tumpuan popular di kalangan pelancong Singapura dan China.
Kata akhbar berkenaan pelancong dari dua negara terbabit berkunjung ke Pahang untuk menyertai lawatan ke ladang durian.
Permintaan yang tinggi itu juga didakwa menyebabkan pengusaha membuka lebih banyak kawasan hutan untuk ditanam dengan durian Musang King.
Perkembangan itu bagaimanapun secara tidak langsung meletakkan harimau Malaya semakin diancam kepupusan.
The Guardian mendakwa tanah seluas 1,213 hektar di Hulu Sempan dipercayai akan dibersihkan untuk ditanam dengan durian berkenaan oleh syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan negeri Pahang.
Memetik kenyataan Siti Zuraidah Abidin, akhbar itu mendakwa ladang Musang King itu adalah "dijangka menjadi habitat harimau" dan terletak berdekatan dengan kawasan perlindungan haiwan liar berkenaan.
Permintaan meningkat tinggi
Kewujudan harimau Malaya dianggap "sangat terancam" ketika ini dan dianggarkan hanya ada kira-kira 300 ekor yang masih hidup di seluruh dunia.
"Penerokaan tanah di Hulu Sempan boleh menyebabkan lebih luas kawasan hutan dipisah-pisahkan dan akibatnya ia akan memberi kesan kepada pergerakan hidupan luar," kata Siti Zuraidah.
Sementara itu laporan sama juga menghubung Jabatan Perhutanan Pahang.
Kata pegawainya pengusaha ladang durian terbabit tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada mereka untuk melaksanakan projek berkenaan.
The Guardian juga melaporkan permintaan untuk durian di China mendorong kenaikan harga dan berlaku pertambahan pembukaan ladang berskala besar di Malaysia sejak tahun lalu.
Katanya import untuk durian segar di China meningkat pada kadar purata 26 peratus setahun bagi tempoh sedekad lalu dan nilainya mencecah AS$1.1 billion pada 2016.
"Ketika pembukaan ladang kelapa sawit membawa kemusnahan habitan haiwan terancam seperti orang utan, aktivis alam sekitar bimbang permintaan tinggi terhadap durian juga akan memberi kesan buruk kepada populasi harimau yang terancam," lapor akhbar tersebut.