PEMILIHAN PKR | Pergaduhan tercetus di kalangan anggota PKR di Seberang Jaya, Pulau Pinang, malam ini.
Video yang dimuat naik anggota PKR Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, menunjukkan seorang individu yang cuba menyerang sekumpulan lain dengan kerusi tetapi sempat dihalang.
Video sama turut menunjukkan seorang lagi membaling kerusi dan sempat disambut sebelum mencederakan orang lain.
Turut kelihatan adalah calon Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin yang menenangkan keadaan yang kian hangat.
Kejadian dipercayai berlaku di Safira Country Club, Seberang Jaya, selepas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengadakan sidang media.
Menurut Afif, pergaduhan tercetus ekoran ada anggota yang tidak berpuas hati dengan pengumuman JPP.
"Maka mereka mula kepung JPP, anggota yang jaga keselamatan kemudiannya mengiringi JPP untuk keluar.
"Itulah yang mencetuskan pergaduhan," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam sidang media itu, JPP mengumumkan keputusan pengundian di Pulau Pinang diterima manakala pengundian di Kedah dibatalkan.
Ia susulan kekecohan di beberapa pusat mengundi di Kedah ekoran masalah dengan e-undi, seperti dilapor Malaysiakini.
PKR Pulau Pinang, selain Kedah, merupakan negeri pertama yang memulakan pemilihan parti hari ini.
Pengundian di Perlis dan Perak yang sepatutnya bermula esok, dan Negeri Sembilan dan Melaka pada 29 September ini juga ditangguhkan ekoran masalah yang berlaku.