Surat CIA: Polis akan rakam kenyataan pegawai kedutaan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis akan menyoal-siasat pegawai kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat berhubung surat yang dihantar oleh Organisasi Perisikan Luar Malaysia (ME10) kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat yang dilaporkan bocor.
"Kami akan tunggu pegawai di Washington itu kembali dan akan merakamkan kenyataan mereka.
"Siasatan berhubung surat yang bocor dan laporan polis lain yang berkaitan," katanya yang dipetik oleh portal The Star Online hari ini.
Surat berkenaan dihantar oleh bekas ketua pengarah ME10, Datuk Hasanah Abdul Hamid sebelum pilihan raya umum ke-14.
Dalam surat kepada CIA itu, Hasanah meminta Washington DC untuk menyatakan sokongan terhadap pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun BN cuma berkemungkinan akan menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi' pada pilihan raya umum 9 Mei.
Peguam Hasanah mengesahkan kesahihan surat itu tetapi membidas pihak yang membocorkannya memandangkan dokumen itu sepatutnya dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Najib yang menerajui BN menyaksikan kekalahan pertama gabungan itu sejak memerintah 61 tahun.
Sementara itu, Bernama melaporkan polis telah mengambil keterangan Hasanah berhubung surat yang ditulisnya kepada CIA.
Tanpa mendedahkan bila keterangan Hasanah diambil, Mohamad Fuzi berkata pihaknya juga sudah memanggil beberapa lagi pegawai ME10 bagi membantu siasatan berkenaan.
Katanya polis juga akan mengambil keterangan beberapa pegawai ME10 di Washington.
“Kemudian kita akan hantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.
Surat Hasanah bertarikh 4 Mei itu ditujukan kepada Pengarah CIA Gina Haspel meminta Amerika Syarikat menyokong pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Pada 31 Julai lalu, Hasanah meminta polis menyiasat dalang yang membocorkan isi kandungan surat itu.
Hasanah yang membuat laporan polis berkata kandungan surat itu bukanlah perkara yang aneh berbentuk derhaka kerana mandat ME10 adalah menjaga keselamatan negara.
Ditanya berhubung kes 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) disyaki terlibat dalam penyelewengan dana PRU14, Fuzi berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung kehilangan wang itu.
“Tiada laporan polis dari mana-mana parti politik diterima berhubung kehilangan dana PRU14 itu ,” katanya.
Seramai 17 pegawai dan pengawal keselamatan termasuk seorang pegawai keselamatan gred 52 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kes penyelewengan dana berjumlah RM3.5 juta.
Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan anugerah pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 51 pegawai atas jasa dan pengorbanan kepada negara.

