TINJAUAN | Isu pakaian melibatkan pekerja kabin kapal terbang sekali lagi mendapat perhatian umum selepas dibangkitkan di parlimen.
Malaysiakini cuba mendapatkan pandangan masyarakat mengenai isu berkenaan dalam kriteria yang mereka mahukan khususnya melibatkan pemakaian pramugari.
Seksi, tidak menutup aurat (bagi pekerja Islam) dan tidak sopan antara masalah yang dilihat menjadi fokus utama.
Bagi pengusaha tudung, Amalina Ahmad Zaki (bawah), 28, berpendapat pemakaian pramugari syarikat penerbangan di Malaysia sewajarnya perlu mencerminkan dan menterjemahkan identiti Islam.
Menurutnya, Islam sebagai agama rasmi negara juga boleh diterjemahkan melalui pakaian pramugari.
"Keadaan sekarang agak sakit mata kita lihat, kalau mereka itu keluarga kita pasti marah.
"Jadi adalah lebih baik jika pakaian mereka lebih sopan dan menutut aurat. Kita tonjolkan nilai-nilai islamik sejajar dengan Islam sebagai agama persekutuan negara," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, semalam.
Terdahulu, isu tersebut dibangkitkan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) ketika perbahasan titah diraja pada 25 Julai lalu.
Ketika itu, beliau antara lain berkata ada wanita beragama Islam yang bekerja sebagai pramugari terpaksa membuka tudung demi mencari rezeki.
Pekerja swasta, Hamzi Abdul Majid (atas), 24, pula berpendapat isu tersebut perlu ditangani kerajaan dengan berhemah dengan pelaksanaan undang-undang.
Katanya, kerajaan perlu membuat ketetapan dan garis panduan mengenai kod etika melibatkan pramugari.
"Jadi, melaluinya syarikat penerbangan perlu diwajibkan mematuhi ketetapan tersebut.
"Pemakaian sekarang agak menjolok mata dan kurang sopan. Tidak sesuai untuk pekerja Islam," katanya.
Sementara itu, Akmal Aini Rahim, 27, menegaskan kod etika patuh syariah bagi pramugari perlu diperkenalkan agar pekerja bidang itu kelihatan lebih sopan.
"Khusus bagi pekerja Muslim, kita patut utamakan aurat dalam pemakaian. Pakai skirt pendek atau pakaian ketat hanya mengundang tarikan si hidung belang.
"Jadi, lebih baik pakai menutup aurat contohnya seluar panjang yang digayakan dengan baju kot, atau baju kurung dan bertudung," ujarnya yang juga seorang pekerja swasta.
Dalam pada itu, selain isu pemakaian pramugari, pengguna juga mempunyai kriteria lain dalam memilih syarikat penerbangan terbaik untuk mendapatkan perkhidmatan.
Bagi Ang Wui Chong (atas), 42, berkata, sebagai pengguna bukan Muslim isu kualiti perkhidmatan penerbangan lebih diberi perhatian.
"Pada saya kualiti perkhidmatan lebih penting berbanding pakaian.
"Kecuali cutting pakaian itu (nampak) tidak selesa sehingga prestasi perkhidmatannya," katanya ringkas.
Amir Hazlin Lin, 50, pula berpendapat kriteria utama apabila memilih syarikat penerbangan adalah tambang murah, muatan barang dan kesesuaian waktu berlepas atau ketibaan ke destinasi.
"Yang penting harga murah, muatan barang atau luggage. Selain itu waktu berlepas yang sesuai.
"Isu pakaian itu bergantung pada polisi syarikat penerbangan, " katanya.
Syukor Ahmad, 41, pula berpandang seseorang pengguna menaiki kapal terbang bukan untuk melihat pramugari.
Tanpa menafikan isu pakaian pramugari perlu diambil perhatian katanya, seseorang pengguna menaiki kapal terbang pastinya mementingkan keselesaan dan keselamatan terjamin.
"Kalau saya naik kapal terbang tak peduli sangat isu pakaian pramugari. Kalau masa penerbangan panjang kita tidur atau baca buku. Bukan nak tengok pramugari.
"Yang penting selamat sampai ke destinasi pada jangka masa yang ditetapkan, " katanya.