Langkah Kementerian Pertahanan membawa pulang anggota tentera Malaysia dari Arab Saudi dianggap seorang anggota parlimen PAS sebagai tanda negara menyokong pemberontak Yaman.
Menurut Ahmad Fadhli Shaari sebenarnya penarikan balik anggota tentera itu sendiri satu tindakan terburu-buru.
Kata anggota parlimen Pasir Mas itu pada hakikatnya tentera Malaysia tidak pernah terlibat dalam operasi ketenteraan di Yaman.
"Bahkan keberadaan tentera Malaysia di sana sejak 2015 lebih kepada membantu kerja-kerja kemanusiaan di samping menjadi simbol perpaduan dan hubungan di antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Negara-negara yang terlibat secara langsung dalam serangan ke atas Yaman hanyalah Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sudan, Maghribi dan Senegal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 28 Jun lalu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memberitahu pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi akan dibawa pulang dalam tempoh terdekat.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa besar dunia.
"Kabinet membuat keputusan itu (bawa pulang tentera Malaysia) minggu lalu. Kita menunggu persediaan ATM untuk dibawa keluar," katanya.
Menurut Ahmad Fadhli hal itu turut dinyatakan semasa Mohamad menggulung perbahasan bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.
Katanya hujah yang digunakan Mohamad bahawa Malaysia mahu kekal berkecuali dalam konflik di antara Arab Saudi dan Yaman itu adalah tidak betul.
"Penarikan balik tentera itulah yang memperlihatkan Malaysia berpihak kepada negara-negara penyokong pemberontak Yaman.
"Mengumpamakan tentera Malaysia sebagai turut membantu serangan secara tidak langsung ialah perumpamaan yang tidak tepat," katanya.
Walau apa yang berlaku, kata Ahmad Fadhli langkah menempatkan tentera Malaysia di Arab Saudi sebenarnya sudah cukup baik.
"Kita tidak perlu kepada tindakan menarik balik seperti yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.