ULASAN | Apabila saya mengesyorkan maahad tahfiz ditutup, timbul kegemparan kerana ada pihak yang hanya membaca tajuk tanpa isinya, lalu membangkitkan emosi tidak sihat, fanatik dan seperti histeria.
Mungkin juga kerana saya tidak menekankan sekolah tahfiz yang saya maksudkan ialah sekolah persendirian.
Saya tetap dengan pendirian saya bahawa kerajaan terutamanya jabatan-jabatan agama negeri mestilah menutup sekolah tahfiz yang didirikan tanpa keizinan dan mencegah pertumbuhannya lebih banyak secara liar.
Cukuplah setakat yang ada kerana perkembangannya yang tidak terkawal akan menjadi masalah besar kepada kerajaan, sama seperti sekolah-sekolah persendirian Cina yang mulanya mahu bebas tetapi akhirnya berharap menyertai arus perdana dengan meminta pengiktirafan.
Pertumbuhan sekolah pondok sejak dari zaman penjajah dan sekolah Cina persendirian sama asas dan motifnya untuk menjadi kuat dalam dunia masing-masing dengan keperibadian tersendiri walaupun sudah ada sekolah kerajaan sejak bawah penjajahan British.
Sekolah persendirian Cina dan sekolah persendirian tahfiz sebenarnya tidak mahu tercicir dari arus perdana tetapi mereka hanya berasa ketinggalan dan kelemahan setelah menghadapi masalah kewangan dan pengiktirafan masyarakat dan negara.
Di negeri Kedah dan Perlis, telah wujud kesedaran di kalangan istana sejak sebelum merdeka terhadap perlunya diberikan nilai sekular kepada sekolah-sekolah Arab atau agama.
Ia dizahirkan dengan pengenalan kurikulum dan kokurikulum seperti sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris.
Ini telah melahirkan pelajar-pelajar yang tidak sahaja mempunyai disiplin keagamaan yang teguh tetapi lebih terbuka minda dari keluaran pondok dan lebih luas pasaran mereka.
Kebanyakan mereka menyertai sekolah malam atau petang Inggeris di zaman Inggeris atas kesedaran sendiri. Mereka tidak mahu hanya sekadar menjadi ustaz dan pak lebai.
Saya tidak nafikan adanya keluaran tahfiz yang berjaya tetapi jumlah mereka amatlah kecil dibandingkan dengan produk Sistem Pelajaran Kebangsaan.
Namun mereka tidak seharusnya melalui zaman sukar dan tertekan dengan segala kekurangan untuk mencapai kejayaan sedangkan negara menyediakan segala kemudahan untuk berjaya sebagai anak-anak Islam yang lebih mempunyai keyakinan diri, bernilai nasional dan sejagat dari peringkat rendah lagi.
Mereka menjadi mangsa kepada kefanatikan ibu-bapa yang melihat agama dalam nilai terbatas dan sempit.
Masalah politik, sosial
Sebenarnya tidak sahaja sekolah-sekolah Cina persendirian yang mendatangkan masalah politik dan sosial pada negara bila mereka menyedari telah tersisih dari aliran perdana dan menuntut pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Sekolah-sekolah tahfiz juga telah mendatangkan masalah yang sama malah akan mendatangkan masalah yang lebih besar jika tidak dikawal dengan tegas dari sekarang.
Kerajaan tidak boleh mengharapkan kepada jabatan-jabatan agama negeri dengan sistem pentadbiran yang lapuk untuk mengatasi masalah ini.
Kita tidak tahu angka sebenar sekolah-sekolah tahfiz yang masih terbiar dan tidak bernilai.
Tetapi arahan Raja Muda Perlis Tunku Syed Faizuddin Putra Jamalullail supaya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis membuat kajian bagi mewajibkan atau tidak semua maahad tahfiz ditutup kerana tidak menawarkan Sjil Pelajaran Malysia membayangkan kemungkinan majlis agama di negeri lain juga tidak menjalankan tugas ini.
Allhamudillah kerajaan Pakatan Harapan bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah menampakkan kesedaran terhadap kelemahan dalam pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.
Tahniah kepada Raja-Raja Melayu yang dari dahulu lagi mahukan dinamisme dalam usaha meningkatkan taraf Islam di negara ini telah memperkenankan penubuhan jawatankuasa itu.
TAN SRI ZAINUDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan ketua pengarang Kumpulan Utusan.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.