Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam kepada pelajar sekolah yang bermula tahun depan akan dibuat secara berperingkat.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, ia bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dan pelbagai pihak yang terlibat dapat menyesuaikan diri dengan ketetapan baru itu.
"Kementerian faham kebimbangan ibu bapa serta keluarga terutama golongan pendapatan rendah dan tidak akan menguatkuasakan dasar baru kasut hitam serta-merta selain pihak industri yang mempunyai stok kasut putih yang baru.
"Tiada tindakan disiplin bagi murid dan pelajar yang masih menggunakan kasut putih tahun depan dan kita akan beri masa secukupnya," katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam laporan berbeza berkata kementerian akan mempertimbangkan semua faktor dalam pelaksanaan perkara itu agar tidak membebankan ibu bapa.
"Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang membeli lebih awal, atau tak mampu membeli kasut baru...Ia akan diwajibkan sepenuhnya pada masa sesuai," katanya seperti dipetik.
Peraturan baru itu diumumkan Maszlee dua hari lalu selepas berkata menerima banyak maklum balas daripada ibu bapa berhubung kerumitan yang dihadapi disebabkan penggunaan kasut putih.
Selain itu, Maszlee juga berkata kementerian komited untuk mengatasi masalah beg berat yang sekian lama dihadapi pelajar.
Cadangan pertukaran kepada kasut hitam itu mendapat perhatian ramai di media sosial.
Antaranya adalah Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang hari ini berharap kerajaan tidak terburu-buru dalam melaksanakan peraturan itu.
"Kasut putih dan hitam kedua-duanya dibenarkan. Takkan anak orang miskin nak buang kasut putih yang masih elok.
"Perlu fleksibel dan cari kaedah yang bukan mendadak. Harap menteri boleh pertimbangkan," katanya yang pernah menjadi timbalan menteri pelajaran pada 2008-2013.