Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berikrar bahawa parti itu akan mempertahankan sekolah-sekolah tahfiz di negara ini daripada cadangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya ia ditutup.
Katanya, saranan bekas menteri Umno itu sebagai kenyataan tidak berakhlak dalam konteks Islam sedangkan sekolah tahfiz bukannya melahirkan pengganas di negara ini.
“Apa masalah sekolah tahfiz? Pelajar sekolah itu tidak pernah buat masalah pada negara, sama ada melahirkan ‘pengganas’ ataupun timbul isu kononnya sistem pendidikan mereka tidak selari dengan sistem pendidikan negara.
“Bahkan, (sekolah tahfiz) melahirkan ramai profesional seperti jurutera dan peguam, jadi saya fikir kenapa bebanan perlu diletakkan kepada sekolah berkenaan?
“PAS bersungguh mempertahankan institusi itu kerana merupakan tempat yang berjaya melahirkan generasi berakhlak mulia dan bertanggungjawab,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sebaliknya Zainuddin lebih baik membincangkan tentang masalah sosial yang melanda remaja di negara ini.
“Apa masalah yang melanda di negara kita sejak dahulu lagi? Isu dadah, mat rempit dan kebejatan masalah moral semuanya adalah berpunca akibat tiada didikan agama.
“Golongan yang terjebak dengan kancah masalah itulah yang perlu dibina asas jati diri bermula dari peringkat awal akibat al-Quran tidak disemai dalam sanubari mereka,” katanya.
Zainuddin dalam blognya minggu lalu meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada ‘amalan agama jumud’.
Beliau yang dikenali sebagai Zam dalam blognya turut mendakwa sekolah tahfiz di negara ini tidak memberi harapan kepada masa hadapan generasi baharu Islam.