Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Najib main golf di Langkawi bukan mahu ‘lari'
Diterbitkan:  Jun 18, 2018 3:35 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, meminta orang ramai tidak membuat spekulasi kononnya bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ingin melarikan diri ke luar negara melalui Langkawi.

Beliau berkata penyebaran berita seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menimbulkan kegusaran kepada orang ramai dan dan memberi tekanan.

"Beliau (Najib) datang ke Langkawi hanya untuk bercuti bersama keluarga dan ada bertemu dengan bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) serta pemimpin lain.

"Bagaimanapun ia hanya perjumpaan biasa dan bukannya diadakan mesyuarat sebaliknya beliau sudah dua hari bermain golf di pulau itu," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Zainal berkata, lagipun pegawai keselamatan bekas perdana menteri itu pun ada bersamanya di Langkawi.

Sebelum ini, dakwaan Najib dan Rosmah mahu melarikan diri melalui Langkawi ke Myanmar sebelum ke China dan seterusnya ke negara mentua anak perempuannya di Almaty, Kazakhstan menjadi tular dalam media sosial susulan mereka dilihat membawa 30 beg.

Seorang pemilik akaun FB dalam statusnya meminta polis memantau pergerakan Najib yang didakwa khuatir akan melarikan diri ke luar negara.

Najib yang masih dalam siasatan pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB dan beberapa kes berkaitan dilarang ke luar negara sejak BN tumbang yang diterajuinya tumbang pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS