Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M cuba jual The Loaf untuk dana kempen PRU14
Diterbitkan:  Apr 15, 2018 6:18 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata beliau cuba menjual kedai roti premium The Loaf bagi mendapatkan dana kempen pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Namun, katanya, beliau gagal mendapatkan pembeli apabila seorang bakal pembelinya didatangi pegawai lembaga hasil dalam negeri (LHDN).

“Beginilah caranya kerajaan menekan rakyat supaya tidak menyokong pembangkang,” katanya seperti dilapor portal berita The Straits Times.

Kesemua 12 cawangan The Loaf di seluruh negara ditutup serta-merta Jumaat lalu setelah beroperasi selama 12 tahun.

“Saya tidak mendapat pembeli… dan saya juga tidak mampu menampung kerugian, jadi saya terpaksa menutupnya,” tambah Dr Mahathir

Cawangan pertama The Loaf di Telaga Harbour, Langkawi dibuka pada 2006 antara lain merupakan salah satu rancangan persaraan Dr Mahathir.

Beliau bagaimanapun dilihat kembali aktif dalam politik sejak 2016 dengan tampil mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kini, bekas perdana menteri itu menerajui pakatan pembangkang Pakatan Harapan (HARAPAN) menentang kerajaan BN.

Semalam, New Straits Times melaporkan Dr Mahathir menafikan memiliki saham The Loaf.

Sementara dalam laporan berasingan akhbar The Sun memetik Dr Mahathir yang mendakwa beliau sudah menjual sahamnya.

BN mendakwa Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan tidak benar kerana dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan beliau memiliki 33 peratus saham dalam syarikat pemegang M&M Consolidated Resources Sdn Bhd.

Dokumen SSM berkenaan berdasarkan penyata kewangan berakhir 2016. Dokumen terbaru masih belum boleh diperoleh.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS