Pertubuhan Pribumi Bersatu Perkasa (PERKASA) Kelantan menggesa kerajaan negeri akur dengan desakan Orang Asli agar menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan tanah adat.
Yang Dipertua PERKASA Kelantan, Che Asri Ali berkata pihaknya menyokong penuh sekatan yang dibuat oleh masyarakat Orang Asli di beberapa kawasa di Gua Musang bagi menghalang aktiviti penebangan balak dilakukan.
"Apa yang berlaku itu adalah satu bentuk penganiayaan terhadap masyarakat Orang Asli tempatan.
"Kerajaan negeri melalui syarikat yang dilantik melakukan aktiviti penebangan di kawasan berkenaan perlu hentikan aktiviti mereka segera," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan sebanyak tiga sekatan dibuat di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan sejak Khamis lalu sebagai bantahan terhadap penerokaan hutan serta tanah adat Orang Asli bagi tujuan pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian 'Musang King'.
Sekatan aktivis Orang Asli tempatan itu dibina di Chawas, Gua Cha dan Pos Gob di hutan simpan tersebut.
Sementara itu Che Asri berkata, kerajaan Kelantan seharusnya memikirkan secara mendalam akibat dan kesan yang bakal ditanggung Orang Asli sekiranya persekitaran mereka terancam.
Menurutnya, jika keadaan itu (penerokaan) diteruskan ia satu kezaliman ke atas pendudukan bumiputera di tanah tumpah darah mereka.
"Kita sama sekali tidak boleh berkompromi dalam isu ini kerajaan negeri sepatutnya menghormati keputusan mahkamah sebelum ini.
"Ini melibatkan hak asasi masyarakat Orang Asli yang turun-temurun menjadi penghuni di kawasan tersebut.
"Sebagai sebuah kerajaan, Kelantan sepatutnya bertindak lebih adil demi keharmonian kehidupan rakyat," tegas beliau.