Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak seekor gajah yang menyerangnya di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan tugu peringatan JRTB petang semalam.
M. Paramanazan, 69, dari Sungai Siput Utara, Perak mengalami patah tangan kiri, patah tulang rusuk kiri, luka pada lengan kanan dan juga dipercayai patah tulang leher.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata kejadian berlaku pukul 4.30 petang apabila mangsa dan anaknya berusia dalam 40-an yang memandu lori melalui JRTB dalam perjalanan ke arah Gerik.
Ketika sampai di kawasan berdekatan tugu peringatan, mangsa turun dari lori untuk melihat gajah yang berada di situ tetapi dikatakan dikejar sebelum dipijak oleh gajah itu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ismail berkata mangsa yang cedera dibawa oleh anaknya ke Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan tetapi kerana ketiadaan pakar, mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.
- Bernama