Perkenalan sejak di bangku persekolahan menjadikan hubungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sangat rapat.
Menerusi Facebook, bekas perdana menteri itu mengenang kembali kenangan menaiki bas bersama-sama almarhum baginda ketika melanjutkan pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.
"Kami kenal sejak kecil dan jarak usia hanya tiga tahun, jadi hubungan rapat.
"Antara kisah yang masih saya ingat sampai sekarang adalah masa sekolah terpaksa naik bas bersama almarhum baginda dari Pulau Pinang, sebab tak ada kereta katanya," katanya menerusi laman Facebook Dr Mahathir Mohamad.
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat kelmarin pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.
Sultan berjiwa rakyat itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 petang di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Mahathir menyifatkan almarhum sebagai seorang raja yang sangat komited melaksanakan amanah untuk rakyat negeri Kedah.
"Baginda komited laksana amanah sehingga tempoh lima tahun berakhir, almarhum amat mengambil berat masalah negara dan negeri Kedah. Al- Fatihah," jelasnya.
Diputerakan pada 28 Nov 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Sultan Abdul Halim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titian Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.
Almarhum kemudian melanjutkan pengajian di Wadham College, Oxford, London pada 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam sebelum kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian pada 1955.
Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Raja Muda Kedah sewaktu di United Kingdom pada 6 Ogos 1949 dan menaiki takhta pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah.
Baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959.