Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
SPRM bermesyuarat 4 Sept, bincang tindakan ke atas Lim

SPRM akan bermesyuarat pada 4 September ini untuk membincangkan bentuk tindakan undang-undang ke atas Lim Guang Eng selepas ketua menteri itu gagal membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam selepas mendakwa penahanan exco kerajaan Pulau Pinang, Phee Boon Poh sebagai ‘penahanan haram’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, tempoh 48 jam yang diberikan kepada Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP telah pun berakhir dan pihaknya akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Ini adalah satu fitnah kepada sebuah agensi kerajaan yang tiada apa-apa kepentingan dalam melaksanakan tugas kami. Oleh itu, kita memandang perkara ini secara serius.

“Kita akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang. Ini adalah hak kami. SPRM akan mengambil tindakan sama ada sivil atau jenayah,” katanya yang dipetik Bernama.

Jumaat lalu, SPRM memberi temoh 48 jam kepada Lim untuk memohon maaf selepas ketua menteri itu pada sidang akhbarnya berkata suruhanjaya tersebut menahan Phee secara tidak sah berhubung siasatan ke atas sebuah kilang haram di Bukit Mertajam.

SPRM menahan Phee pada 10 Ogos lalu kerana menulis surat yang menggesa MPSP supaya tidak bertindak terhadap sebuah kilang penapis karbon di Bukit Mertajam yang beroperasi secara tidak sah.

Suruhanjaya itu turut menyerbu kilang, pejabat MPSP dan pejabat Phee di Komtar, pusat khidmatnya di Sungai Puyu dan rumah pemimpin DAP tersebut di Butterworth dan merampas dokumen yang berkaitan dengan kilang berkenaan.

SPRM merancang untuk menahan Phee selama lima hari untuk membantu siasatan tetapi beliau kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

SPRM bagaimanapun berkata, Mahkamah Tinggi, dalam memerintahkan pembebasan Phee, tidak menyatakan bahawa penangkapan itu adalah menyalahi undang-undang, dan berkata, mereka akan membuat rayuan dan sebarang komen mengenai penangkapan itu boleh dianggap sebagai sub judis dan penghinaan terhadap mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS