Ahli Parlimen Kelana Jaya dari PKR, Wong Chen mendedahkan laporan audit pejabatnya bersama-sama dokumen sokongan kepada umum selepas perbelanjaan komuniti kawasannya dibekukan oleh kerajaan Selangor.
Beliau berkata, pihaknya menulis surat kepada kerajaan negeri untuk mendedahkan laporan itu sekali lagi sekiranya tidak mendapat jawapan berkenaan pembekuan akaun tersebut menjelang 30 Jun yang lalu.
"Pejabat saya berdepan lima bulan yang amat sukar. Kami terlibat dalam pertikaian dengan kerajaan negeri Selangor mengenai isu audit.
"Ada yang bertanya, mengapa saya dedahkannya kepada umum? Saya uruskan pejabat secara bersih...Semua kertas kerja yang kami sediakan mengenai dasar awam berkisar mengenai akauntabiliti dan ketelusan.
"Saya ingin teruskan ini, ketepikan privasi saya mengenai perkara ini...Adalah menjadi kewajipan saya untuk menyelesaikannya secara terbuka dan telus," katanya dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya, hari ini.
Beliau kemudian memuat naik beberapa siri catatan mengenai isu itu termasuk senarai soalan-soalan lazim (FAQ), garis masa audit dan pembekuan perbelanjaan komuniti serta pautan kepada imbasan salinan laporan audit dan surat antara pejabatnya dengan kerajaan negeri.
Wong Chen sebelum ini mendakwa di laman Facebook pada 23 Mei yang lalu bahawa audit ke atas pejabatnya oleh perbendaharaan negeri Selangor dilakukan secara tidak wajar kerana tidak menghubungi pejabatnya sepanjang proses itu.