Tawaran “72 bidadari perawan” dan jalan pintas ke syurga disalah tafsir untuk menjadi tarikan kepada pengganas yang berjuang membabi buta mencari status ' mati syahid'.
Justeru, untuk menangani keganasan melibatkan umat Islam, konsep itu - yang ditafsir secara sembarangan daripada sepotong hadis - harus ditangani.
“Konsep 72 anak dara ini sangat menarik bagi golongan ini,” kata bekas kolonel tentera Abdul Manaf Kasmuri yang berpengalaman berkhidmat di pelbagai negara yang sedang berperang.
Manaf ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari 2003 kerana dikatakan terlibat dalam kumpulan pengganas Jemaah Islamiah, sekutu al-Qaeda, di rantau ini.
Polis bagaimanapun gagal mengaitkannya dengan kumpulan pengganas dan dibebaskan tiga tahun lapan bulan selepas itu.
Veteran tentera itu secara konsisten menafikan penglibatan beliau dalam kegiatan keganasan.
Walaupun begitu, beliau berpengalaman melihat secara langsung bagaimana ideologi tertentu memainkan peranan penting membentuk pemikiran kumpulan pengganas.
“Mereka ini percaya orang Islam ditindas. Jadi mereka percaya mereka patut berganding bahu untuk menyaingi penindas.
“Tetapi golongan ini jahil. Jika tidak, mereka tidak akan terpengaruh,” katanya.
Mengambil contoh pengganas komunis, Manaf berkata, ia mengambil masa untuk membendung kumpulan berkenaan.
“Berapa lama kita harus melawan mereka? Kita kena uruskan ideologi mereka, komponen-komponen mereka dan juga sokongan awam,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di sebuah pusat beli belah di Subang minggu lalu.
Rancangan IS buat M'sia
Manaf antara yang ditonjolkan pihak berkuasa untuk membantu menepis ancaman keganasan dalam sebuah acara melibatkan polis sebelum ini.
Malaysia antara negara yang sedang berjaga-jaga dengan ancaman berkenaan.
Terbaru lapan orang suspek yang terlatih sebagai pengebom berani mati ditahan selepas dikatakan mahu menyerang Putrajaya dan pusat pertemuan Freemason di Bukit Jalil.
Sementara itu, Manaf berkata, walaupun IS tidak mampu melancarkan serangan besar susulan kekangan kewangan, beliau percaya kumpulan itu mempunyai rancangan terhadap Malaysia.
"Semua itu boleh dilakukan melalui penyebaran ideologi dan keganasan," katanya lagi.
Menyentuh penegasan IS ke arah pembentukan negara Islam global, Manaf berkata kumpulan itu mahu seorang khalifah dengan kuasa mutlak dilantik.
“Jika kamu tolak, kamu dikira kafir,” katanya.
Beliau juga berkata, salah tafsir juga berlaku pada pandangan-pandangan ulama tertentu dalam isu keperluan berjihad seperti diilhamkan sarjana usuludin abad ke-13 Ibnu Taimiyyah.
“Fatwa Ibnu Taimiyyah dalam jihad menysebut, tiada seorang pun patut duduk diam jika berlaku jihad di mana-mana tempat. Kamu mesti menyertainya.
“Tetapi fatwa itu ditujukan (relevan) pada zamannya, tetapi fahaman berkenaan dibawa ke sini tanpa pemahaman yang betul,” katanya.
Ulama sebulan
Manaf percaya pegangan kukuh terhadap mazhab Shafie menjadi penyebab beliau kekal tidak terjebak, walaupun pendiriannya tidak digemari golongan 'salafi jihadi'.
“Ketika saya ditahan pada 2003, mereka (pihak berkuasa) minta pandangan saya. Saya kata mereka patut tangani ideologi sebegini.
“Ketika itu mereka tidak faham. Saya beritahu perkara ini pada 2003, tengok apa jadi sekarang,” katanya.
Manaf juga mengimbas pengalamannya di Bosnia yang memperlihatkan bagaimanapun golongan muda mahu 'berjihad' semata-mata untuk menjadi 'wira'.
Apa yang dilihatnya, terdapat pihak yang telah “melakukan semua benda” tetapi kemudian menanggap orang lain bukan Muslim yang baik dan patut dibunuh.
“Dalam masa sebulan saja dia rasa sudah jadi ulama.
“Orang macam ini jadi begini sebab baca al-Quran dan Hadis secara luaran,” katanya yang berharap istilah jihad tidak dicemari kerana ia juga satu bentuk pergelutan rohani.
Dalam Islam, katanya, jihad melawan hawa nafsu dianggap sebagai jihad terbesar.
Wawancara dijalankan bersama oleh Alyaa Azhar dan Anne Muhammad.