Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelawaan Azmin: Terserah pada PAS pusat, kata Iskandar

Hanya PAS pusat yang boleh membuat keputusan sama ada mahu menerima pelawaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali untuk parti itu menyertai Pakatan Harapan atau tidak, kata Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad.

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Selangor berkata demikian sebagai mengulas pelawaan PKR untuk PAS bersamanya dan DAP sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Keputusan (ajakan Azmin) seperti itu hanya boleh dibuat oleh PAS pusat. PAS Selangor tidak boleh membuat keputusan tersebut," kata exco kerajaan Selangor itu kepada Malaysiakini.

Azmin yang juga menteri besar Selangor dalam satu kenyataan berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak kelmarin yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

Oleh itu, bagi memastikan hasrat pakatan pembangkang untuk merubah masa depan Malaysia, PKR mengajak PAS untuk kembali bersamanya dan DAP.

Keputusan PRN Sarawak ke-11 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh daripada 31 kerusi yang ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. PAS dan AMANAH tewas di semua kerusi yang ditandingi.

PAS sebelum ini memutuskan untuk tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin kanan PAS kemudiannya menubuhkan parti AMANAH dan bekerjasama dengan DAP dan PKR, manakala PAS pula menubuhkan satu lagi pakatan pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS