Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata proses 'bercakaran' sesama ahli berlaku dalam parti itu - serta parti lain - apabila pihak yang berkenaan tidak menggunakan sifat kemanusiaan sebenar.
Justeru, kata Abdul Hadi, PAS memilih "acuan Islam sebenar" untuk mengatasi kemelut itu selepas mendapati ideologi manusia gagal menyelesaikannya.
"Sebab itu kongres ini diadakan bagi mendidik (ahli) bertukar-tukar fikiran.
"Walaupun kita golongan lemah, kita bukan menyalak dekat bukit, tapi kita menyalak dekat ‘babi’ dalam bukit,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Rakyat - Membina Malaysia Sejahtera di Shah Alam, hari ini.
Ungkapan itu dipercayai digunakan dengan merujuk kepada peribahasa Melayu, bagai anjing menyalak bukit.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kekuatan dan kesatuan dalam parti perlu diutamakan sebelum mencapai matlamat besar menjadi pemerintah selepas pilihan raya umum akan datang.
"Wawasan kita adalah wawasan kembali kepada Allah. Kita diajar oleh Islam bukan sekadar ke Putrajaya. Lepas Putrajaya kita mati, bertemu dengan Allah, menzahirkan dan diiktiraf, berbuatlah baik dan fikirlah baik-baik," katanya lagi.
Macam ketam berjalan
Berikutan itu, kata Abdul Hadi, untuk dalam mencari penyelesaian daripada masalah yang berlaku, PAS akan tetap mempertahankan dasar perjuangannya dengan memartabatkan Islam sebagai panduan dalam mencari kebenaran.
Sementara itu Abdul Hadi berkata, jika seseorang pemimipin menjadi 'pencuri', rakyat pula bakal menjadi 'perompak'.
Justeru, katanya, kerajaan perlu berhati-hati kerana rakyat kini sedang memerhati.
"Jangan jadi macam ketam yang mahu mengajar anaknya berjalan. Rakyat akan ikut telatah pemimpin mereka.
"Kita ada tanggungjawab untuk lahirkan kepimpinan yang baik. Jadi pemimpin bukan kerana hendak mencari peluang tetapi laksanakan amanah," katanya.
Menurut Hadi, sikap kegagalan kerajaan mengurus sumber manusia dan bumi juga menyebabkan negara berdepan pelbagai masalah.
"Sumber manusia dan bumi kita banyak, tetapi kenapa kita hadapi masalah ekonomi? Mata wang jatuh, inflasi, membebankan rakyat. Orang kata kita tak pandai mengurus, mentadbir dan memanfaatkan sumber-sumber ini. Mengapa?" soal Abdul Hadi.
Selain itu, bekas Menteri Besar Terengganu itu menegaskan PAS menolak budaya cauvinis yang dipamerkan oleh pihak-pihak tertentu.
Tanpa menyebut parti politik tertentu, Abdul Hadi berkata PAS selaku "parti yang mencerminkan Islam" perlu menolak fahaman sedemikian yang membawa kepada sikap fanatik.
"Islam telah mensyaratkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah masyarakat majmuk bukan kerana fanatik, bukan kerana opputinis, kerana tidak ada tempat bagi ajaran Islam dikalangan yang fanatik (atau) kalangan berfahaman cauvinis dan oportunis," katanya.