Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR hari ini menegaskan pendirian mereka bahawa PAS sepatutnya berada dalam gabungan pembangkang yang baru.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menyatakan pendirian jelas mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Azmin menyatakan bahawa partinya mahu meneruskan kerjasama dengan PAS dalam gabungan pembangkang yang baru dan ia seolah-olah pendirian tegas parti mengenainya.

ADUN Bukit Antarabangsa itu ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menolak PAS menyertai gabungan baru itu susulan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan PAS merancang mahu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi DAP.

Azmin yang juga menteri besar Selangor bagaimanapun percaya kenyataan Lim tu adalah pandangan peribadinya.

"Itu pandangan Lim Guan Eng. Terpulang kepada DAP. Yang saya nyatakan baru-baru ini, bukan kenyataan (dan) pendirian saya. Tapi itu pendirian PKR. Ini bukan pendirian saya atau Wan Azizah.

"Kita telah bincang panjang, termasuk pandangan dan maklum balas yang diterima Ketua Umum (Datuk Seri) Anwar yang menyatakan PKR sentiasa bersifat inklusif.

"Dan kita menerima mana-mana pihak yang terikat dengan pendirian dan dasar-dasar untuk melakukan perubahan dan reformasi secara total, kita terima," katanya.

Dr Wan Azizah sebelum ini berkata pembangkang sedia bekerja dengan sesiapa sahaja untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak termasuk PAS dan termasuk mana-mana individu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS